KUALA LUMPUR – Maklumat yang terkandung dalam satu surat pekeliling Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mengenai kehadiran pengebom berani mati di negara ini, adalah berdasarkan maklumat risikan dalaman polis supaya semua anggotanya sentiasa mengambil tindakan proaktif.
Pengarah Cawangan Khas PDRM Bukit Aman, Datuk Seri Fuzi Harun ketika mengulas mengenai surat pekeliling itu yang tersebar di media sosial, berkata ia bertujuan supaya pasukannya sentiasa berhati-hati.
“Itu sebenarnya adalah arahan dalaman, untuk kita sentiasa berhati-hati. Ia adalah maklumat yang kita terima tetapi kita tidak dapat yang nyata… Ia mungkin betul, mungkin tidak tetapi tindakan tetap diambil,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini.
Menurut beliau lagi, PDRM sentiasa mengambil tindakan proaktif terhadap sebarang maklumat walaupun ia ‘sekecil-kecil maklumat’.
“Maklumat-maklumat ini kita akan maklumkan kepada anggota kita untuk sebarang tindakan,” kata Fuzi.
Sebuah portal berita tempatan hari ini melaporkan mengenai surat pekeliling dalaman polis yang mendedahkan mengenai kehadiran pengebom berani mati di Sabah dan Kuala Lumpur.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan mengesahkan kesahihan surat pekeliling itu, namun kesal dengan kebocoran maklumat yang dianggapnya sensitif.
Beliau berkata polis sedang memantau semua potensi ancaman dan tindakan sedang diambil untuk mengagalkan atau meneutralkan mereka selain polis tidak akan bertolak ansur dalam menangani unsur-unsur keganasan.
Pekeliling bertarikh 16 November dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah adalah berdasarkan maklumat yang diperoleh berhubung satu “mesyuarat dan perancangan” antara Kumpulan Abu Sayyaf (ASG), militan IS dan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF).
Pekeliling berkenaan turut meminta anggota-anggota polis supaya meningkatkan rondaan dan risikan manakala pos-pos dan unit hadapan diminta sentiasa dalam keadaan siap siaga serta saling berkomunikasi. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]77wz0Jz5T3M[/wpdevart_youtube]