California – Seorang lelaki disyaki penyamun maut selepas tersangkut dalam serombong di sebuah kediaman manakala pemilik rumah yang tidak menyedari kehadirannya, menyalakan api di pendiang lewat malam kelmarin.
Syerif Daerah Fresno Leftenan Brandon Pursell berkata, seorang pemilik rumah di pekan Huron, terdengar bunyi jeritan tidak lama selepas dia menyalakan api.
Lelaki itu terus menghubungi talian kecemasan selain cuba memadam api selepas rumahnya mula dipenuhi asap.
Bomba yang dikejarkan ke tempat kejadian menggunakan gerudi dan tukul untuk memecahkan serombong diperbuat daripada batu bata dalam usaha menyelamatkan lelaki terbabit.
Malangnya, lelaki itu tidak sempat diselamatkan. Identitinya masih belum diketahui.
Pursell berkata, lelaki itu pada mulanya masih bernafas dan bergerak ketika operasi menyelamat dimulakan.
Portal berita KFSN melaporkan, siasatan awal menunjukkan lelaki itu memanjat masuk ke serombong pada malam sebelumnya untuk menyamun rumah itu sebelum tersangkut di dalam.
Sehari kemudian, pemilik rumah itu yang tidak menyedari kehadirannya menyalakan api di pendiang berkenaan. – Agensi/myMetro Onlin