PENYANYI yang meraih pendapatan tertinggi di Amerika Syarikat, Taylor Swift dilaporkan telah disaman oleh penyanyi R&B, Jesse Braham, 50, kerana didakwa menciplak lirik lagu penyanyi veteran itu.
Braham dalam tuntutan samannya mendakwa Swift menciplak ayat dalam lagu Haters Gone Hate yang diterbitkan pada 2013 berbunyi, “Haters Gonna Hate, Players Gonna Play” dalam lagu popular Swift berjudul Shake It Off yang dikeluarkan tahun lalu.
Dalam writ samannya, Braham menuntut sebanyak USD42 juta (RM180juta).
Shake It Off memaparkan baris lagu, “cause the players gonna play, play, play, play, play, and the haters gonna hate, hate, hate, hate, hate” yang kedengaran sama dengan lagu Braham.
“Jika saya tidak menulis lagu Haters Gone Hate, maka lagu Shake It Off tidak akan dapat dihasilkan,” katanya.
Menurutnya lagi, dia pernah memaklumkan kepada pihak syarikat rakaman Swift, Big Machine mengenai perkara ini sebanyak lima kali.
Dalam tuntutannya Braham meminta mereka memberikan kredit namanya dalam penerbitan lagu dan mengambil selfie dirinya dengan Swift namun Big Machine langsung tidak mengendahkan permintaannya.
“Pada mulanya saya tak nak ambil kisah mengenai perkara ini, tapi apa-apa pun ini adalah lagu, karya ciptaan saya,” katanya.
Menurutnya persamaan yang terdapat pada lirik itu memberikan sebab yang kukuh untuknya menyaman Swift dan syarikat rakamannya.
Setakat ini, tiada jawapan balas yang diberikan baik oleh pihak Swift mahupun syarikat rakamannya berhubung kes saman terbabit. – MYNEWSHUB.CC