SHAH ALAM – Kumpulan Perangsang Selangor Bhd. (Perangsang Selangor) mengajak orang ramai menyertai program berbasikal ‘Perangsang Fun Ride 15′ yang akan diadakan pada 15 Nov ini.
Presiden Kelab Sukan dan Rekreasi Perangsang, Mohd Fauzi Mohd Ghazali berkata program itu bertujuan memupuk minat masyarakat terhadap aktiviti berbasikal, selain sebagai satu konsep riadah bersama keluarga.
“Program akan bermula seawal 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari dan kita mengehadkan sebanyak 400 peserta untuk menyertai kayuhan santai ini.
“Setiap peserta akan berbasikal sejauh 29 kilometer bermula di Dataran Kemerdekaan menuju ke beberapa kawasan di Shah Alam seperti Seksyen 7 dan Seksyen 9, sebelum kembali semula ke Dataran Kemerdekaan,” katanya kepada Bernama di sini.
Beliau berkata program berkenaan juga akan diserikan dengan acara cabutan bertuah dan hadiah menarik bakal diberikan kepada 60 peserta terpilih.
Mohd Fauzi berkata selain acara berbasikal, pihaknya turut mengadakan klinik berbasikal pada 14 Nov di dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
“Klinik berbasikal ini akan dikendalikan bekas pelumba basikal kebangsaan Mohd Mahazir Hamad dan Hadi Putra Ismail.
“Penggiat sukan berbasikal dialu-alukan menyertai klinik ini yang mana program ini akan mendedahkan kepada mereka pelbagai maklumat berkaitan sukan berbasikal,” katanya.
Mohd Fauzi berkata yuran pendaftaran untuk klinik berbasikal adalah RM10 seorang, manakala ‘Perangsang Fun Ride 15′ sebanyak RM20.
Pendaftaran menyertai kedua-dua program tersebut boleh dibuat menerusi www.cleverspeda.com. – BERNAMA