KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bersiap sedia memastikan bekalan makanan asas termasuk sayuran, ikan dan daging mencukupi apabila negara menghadapi musim tengkujuh.
Timbalan menterinya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata selain kebergantungan pada sumber dalam negeri, pihaknya bersedia mengimport bekalan makanan dari luar negara.
“Sekiranya pengeluaran dalam negara terjejas disebabkan faktor iklim…Kita akan dapatkan sumber-sumber luar,” katanya selepas merasmikan Seminar Usahawan Industri Asas Tani 2015 di sini, Selasa.
Jabatan Meteorologi sebelum ini meramalkan negara berdepan musim tengkujuh dengan mengalami hujan lebat selama beberapa ketika hingga Januari tahun depan yang mengakibat kawasan di beberapa negeri mengalami banjir.
Dalam pada itu, Tajuddin berkata bagi pembangunan usahawan industri asas tani, kementeriannya menyasarkan bilangan usahawan itu bertambah sebanyak 3,000 daripada pelbagai sektor pada tahun depan.
Beliau berkata, ketika ini seramai 11,060 usahawan industri asas tani berdaftar dengan kementerian itu dengan sektor makanan paling ramai iaitu sebanyak 8,919 orang.
Sementara itu, Pengerusi Kelab Usahawan Industri Asas Tani Malaysia, Zahari Abu Yazid berkata walaupun keadaan ekonomi dunia tidak stabil dan nilai ringgit jatuh namun pasaran produk agro makanan terutamanya makanan halal terus berkembang.
Pasaran produk industri asas tani pada tahun ini sahaja mencatatkan nilai sebanyak RM47.69 bilion berbanding RM39.04 bilion pada 2010, katanya. – BERNAMA