KUALA LUMPUR – Australia mengiktiraf kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam memerangi keganasan dan menyifatkan kerjasama antara Canberra dan Kuala Lumpur dalam isu itu ‘tidak pernah sekukuh ini’.
Dalam pertemuan sulung antara kedua-dua pemimpin itu di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 dan Sidang Berkaitan di sini Ahad, Turnbull berkata: “Saya ingin mengiktiraf Perdana Menteri (Najib) atas kepimpinan mantap yang diberikan dalam usaha memerangi keganasan.”
“Kepimpinan yang anda tunjukkan sebagai ketua negara Islam yang besar ini telah dikenali di seluruh dunia. Saya memuji anda,” kata Turnbull, yang mengambil alih jawatan perdana menteri Australia, September lepas.
Pada mesyuarat dua hala, Turnbull dan Najib bersetuju untuk meningkatkan lagi tahap hubungan Malaysia-Australia kepada perkongsian strategik.
Dalam Deklarasi Bersama Perkongsian Strategik Australia-Malaysia yang dikeluarkan, kedua-dua pemimpin melahirkan kebimbingan serius atas peningkatan ancaman keselamatan bukan tradisional termasuk keganasan, ekstremisme melampau dan radikalisasi.
Mengikut deklarasi itu, kedua-dua negara itu juga bersetuju memperkukuhkan kerjasama keselamatan termasuk meningkatkan pertukaran perisikan dan analisis keselamatan.
Kedua-dua perdana menteri itu juga menyatakan sokongan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atas usaha badan dunia itu ke arah mencapai keamanan sejagat menerusi Inisiatif Latihan Pasukan Pengaman Bersama Malaysia-Australia. – BERNAMA