PUTRAJAYA – Fasa ketiga projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) di Putrajaya membabitkan pembinaan 5,000 unit kediaman mampu milik akan bermula pertengahan tahun depan.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Loga Bala Mohan berkata fasa ketiga itu akan dibina di beberapa lokasi antaranya Presint 5, Presint 11 dan Presint 14.
Katanya ia menjadikan jumlah keseluruhan kediaman PPA1M di sini kepada 16,000 unit menjelang 2019.
“Dengan jumlah ini, kita menyasarkan jumlah permohonan kuarters di Putrajaya dapat diatasi dan berkurangan dengan adanya pemilikan rumah sendiri,” katanya ketika merasmikan majlis cabutan undi siri keenam PPA1M Pangsapuri Ketumbar dan Kasturi Presint 17, di sini hari ini.
Sejumlah 1,200 unit rumah diundi bagi kedua-dua pangsapuri itu dengan harga jualan masih dikekalkan dalam lingkungan RM90,000 hingga RM300,000 bagi rumah berkeluasan 850 hingga 1,500 kaki persegi.
Keputusan cabutan undi siri keenam PPA1M Putrajaya fasa satu boleh disemak bermula 1 Dis ini selepas 2 petang di laman web www.ppj.gov.my.
Loga berkata dengan sempurnanya majlis cabutan itu, sebanyak 7,872 pemohon atau 78 peratus daripada 10,020 pemohon yang layak, telah menerima tawaran PPA1M fasa satu yang dijangka siap pada 2017.
“Pembangunan PPA1M Putrajaya telah mencapai 35 peratus. Saya percaya tidak lama lagi kesemua pemohon fasa satu akan tandatangan perjanjian jual dan beli pada pertengahan 2016 dan seterusnya majlis penyerahan kunci pada 2017,” katanya.
Dalam masa sama, Loga berkata cabutan undi bagi PPA1M fasa dua pula dijangka dibuat menjelang akhir tahun ini.
PPA1M fasa dua itu akan mula dibina pada awal tahun depan di Presint 17 dan dijangka siap pada 2019. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]3dAvYvBG_Eo[/wpdevart_youtube]