KUALA LUMPUR – Polis menahan 15 individu termasuk lima wanita dalam serbuan di empat premis judi di sini, semalam.
Ketua Penolong Pengarah STAGG Bukit Aman, SAC Khairi Ahrasa berkata operasi selama dua jam setengah bermula pukul 9 malam itu dilakukan sekitar Diamond Square Bussiness Center, Jalan Semarak Api dan Jalan 2/2 B Desa Bakti di Batu Caves, di sini.
Semua suspek yang ditahan dalam operasi oleh Unit Tindakan Khas Jenayah Terancang, Skuad Taktikal 3 Perjudian/Maksiat/Kongsi Gelap (STAGG) Bukit Aman berusia antara 23 dan 48 tahun adalah pengendali dan pekerja premis yang berasal dari Bangladesh, Filipina, Myanmar dan Indonesia.
“Selain pengendali dan pekerja itu, seramai 36 kaki judi termasuk 31 warga tempatan dan lima warga asing turut ditahan.
“Pada masa sama, polis turut merampas 122 buah komputer, 10 modem, enam kerangka komputer utama, sebuah alat kawalan dan wang tunai sejumlah RM12,625 hasil kutipan perjudian,” katanya ketika dihubungi Bernama Rabu.
Khairi berkata ketika serbuan, kesemua penjaga di premis berkenaan gagal menunjukkan lesen malah ada yang menggunakan kamera litar tertutup bagi mengesan kehadiran pihak berkuasa.
Katanya ada antara premis itu yang menyediakan pintu belakang laluan khas untuk pelanggan keluar masuk premis judi dan dikawal dari dalam.
“Hasil pemeriksaan polis keempat-empat premis didapati beroperasi secara curi-curi ‘on/off’ sejak tiga bulan yang lepas,” katanya.
Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1953 dan Seksyen 55(E) Akta Imigresen 1959.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengucapkan syabas kepada STAGG kerana berjaya mengekang kegiatan itu.
“Syabas lagi STAGG @PDRMsia gempur pusat judi di Gombak. Tangkap 15 orang dan rampas 122 komputer judi. Go PDRM Go,” kata Khalid dalam laman rasmi Twitter beliau hari ini. – BERNAMA