SUNGAI PETANI – Program Rondaan Awam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 1Malaysia atau ‘Rapat 1M’, terbukti berkesan dalam usaha mengekang kejadian jenayah di kawasan terlibat, di Kedah.
Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Kedah, Saidi Midin berkata, hasil kaji selidik ‘Feel Safe‘ yang dilakukan bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, mendapati 92.88 peratus atau kira-kira 2,000 penduduk negeri ini, merasakan selamat dengan adanya rondaan Rapat 1M.
Peratusan tersebut meningkat berbanding kaji selidik yang dilakukan enam bulan pertama 2013 iaitu 92.1 peratus, enam bulan kedua 2013 (90.56 peratus), enam bulan pertama 2014 (90.62 peratus) dan enam bulan kedua 2014 (91.9 peratus), katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan penutup Bengkel Pengukuhan Rapat 1M Zon Utara di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Rancangan Cawangan Provos Marsyal ATM, Kolonel Ahmad Afandi Shuib; Ketua Staf Markas 6 Briged, Lt Kolonel Mohd Yusoff Nor; Pegawai Turus Kepolisan Komuniti Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis (IPK) Kedah, Supritendan Ahmad Kamil Ahmad dan Pengerusi Bengkel Pengukuhan Rapat 1M, Komander Che Padzailman Mohamed.
Terdapat 75 kawasan Skim Rondaan Sukarela (SRS) terlibat dengan Rapat 1M di seluruh negara, dengan enam daripada kawasan itu adalah di Kedah iaitu Taman Ria Jaya Fasa 1, Taman Lembah Bujang dan Taman Keladi Fasa 2 di Sungai Petani, Taman Pinang Indah di Alor Setar, Taman Mahsuri di Kubang Pasu, dan Kedawang di Langkawi.
Dalam pada itu Saidi berkata, beberapa penambahbaikan akan dilakukan termasuk membekalkan basikal dan ‘walkie-talkie’ untuk kegunaan anggota peronda yang kini melakukan rondaan secara berjalan kaki.
“Bagi zon utara, Rapat 1M melibatkan 15 kawasan di Perak, lapan di Pulau Pinang dan enam di Kedah, dan setiap kawasan masing-masing akan menerima lima buah basikal untuk tujuan rondaan.
“Komposisi anggota yang terlibat dengan pula Rapat 1M terdiri daripada seorang anggota ATM, seorang dari PDRM dan tiga anggota SRS…waktu rondaan pula ialah antara pukul 12 tengah malam sehingga enam pagi,” katanya.
Dalam pada itu, bengkel yang berlangsung empat hari bermula 18 November lalu, disertai 73 peserta Zon Utara terdiri daripada Kedah, Perak dan Pulau Pinang. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]FM6JZFcx-S4[/wpdevart_youtube]