JASIN – Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sungai Rambai di sini yang bernilai RM2.6 juta akan dibuka kepada orang ramai mulai Selasa ini.
Exco Pertanian dan Pembangunan Usahawan Datuk Hasan Abdul Rahman berkata RTC yang akan beroperasi mulai 8 pagi hingga 10 malam di bangunan Rehat dan Rawat Sungai Rambai itu, merupakan projek yang dinaik taraf melalui peruntukan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).
“Pembukaan RTC ini adalah satu keperluan bukan sahaja untuk penduduk Jasin malah penduduk di Johor terutamanya dari kawasan Muar, Sungai Mati, Ledang dan Tangkak untuk mendapatkan perkhidmatan atau berurusan dengan agensi dan jabatan kerajaan dengan mudah,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci RTC Sungai Rambai di sini.
Katanya, setakat ini sebanyak 28 jabatan dan agensi kerajaan serta bank akan beroperasi di RTC berkenaan.
Antaranya ialah KKLW, Majlis Perbandaran Jasin, Jabatan Pertanian Negeri Melaka, Klinik Kesihatan 1Malaysia, Syarikat Air Melaka Berhad, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Amanah Rakyat Melaka dan CIMB Bank.
Majlis penyerahan kunci tersebut disempurnakan Pegawai Kewangan negeri Datuk Roslan Ibrahim kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri Melaka (Pembangunan), Datuk Ismail Hamad.
Hasan yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Rambai berkata inisiatif mewujudkan RTC tersebut bertujuan mempercepatkan peningkatan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat di kawasan luar bandar.
Katanya, RTC berkenaan akan menjalani tempoh percubaan sebulan selepas beroperasi dan fasa kedua bagi membangunkan pusat sehenti pelbagai perkhidmatan.
“Antara perkhidmatan yang diperlukan masyarakat di sini dan kita sedang mengusahakannya ialah kaunter Tabung Haji dan Bank Islam,” katanya.
RTC Sungai Rambai yang mula dibangunkan pada 1 Okt lepas, siap sepenuhnya pada 20 Nov lepas dan dijangka dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 27 Dis depan. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]-Lr0P7FxKHQ[/wpdevart_youtube]