KUALA LUMPUR – Mungkin bukanlah tandingannya jika dibandingkan dengan keindahan pancuran air Trevi Fountain yang terkenal di Rom, namun hiasan air pancut kristal di pintu utama pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur tidak kurang hebatnya, amat mempesonakan dengan daya tarikan tersendiri.
Justeru, pihak pengurusan pusat beli-belah mewah itu mengambil keputusan menggabungkan unsur keindahan air pancut dengan perayaan Deepavali.
Pavilion Kuala Lumpur dan pusat beli-belah Fahrenheit 88 meraikan Deepavali 2015 dengan tema “Cahaya dan Harapan” dan antara aktiviti-aktiviti yang berlangsung sepanjang musim perayaan iaitu dari 28 Okt hingga 10 Nov termasuk persembahan-persembahan tarian klasik, promosi-promosi makanan India dan pelbagai tawaran istimewa untuk membeli-belah.
MEMUPUK PERPADUAN
“Kami mahukan para pengunjung dan pelancong melontarkan duit syiling ke dalam kolam air pancut ini dan menghajatkan agar Malaysia kekal aman,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Peruncitan Pavilion Kuala Lumpur Joyce Yap, sambil menambah kata bahawa kesemua perayaan memainkan peranan penting dalam memupuk perpaduan dan persefahaman di kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
“Saya sering memberitahu sesiapa saja yang ditemui bahawa Malaysia ibarat syurga. Tidak dinafikan, akan timbul beberapa isu di sana sini serta silih-berganti tetapi kesemuanya berpunca daripada manusia, di mana lambat-laun akan dapat diselesaikan dan rakyat Malaysia boleh hidup bersatu dengan gembira,” katanya.
Bercakap pada majlis pelancaran sambutan Deepavali baru-baru ini, Pengarah Pemasaran Pavilion Kuala Lumpur Kung Suan Ai berkata memandangkan Deepavali merupakan perayaan bagi “meraikan kegemilangan cahaya yang membawa harapan dan permulaan baru, Pavilion Kuala Lumpur berhasrat untuk menyinari hati dan kehidupan setiap insan dengan sesuatu yang ringkas tetapi bermakna iaitu melontarkan syiling dan harapan ke dalam kolam air pancut ikonik pusat beli-belah itu.
“Dengan berbuat demikian, kami berharap dapat membawa satu sinar bagi menerangi kehidupan setiap individu, serta memupuk rasa kebersamaan dan harapan.”
AIR PANCUT PERPADUAN
Air Pancut Kristal Pavilion – setinggi 3.6 meter dengan enam meter lebar diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai pancuran air kristal Liuli tertinggi di negara ini – terdiri daripada tiga mangkuk kristal, merupakan simbolik kepada ketiga-tiga kumpulan etnik utama di Malaysia. Ketiga-tiga mangkuk itu dihias dengan motif bunga kebangsaan, bunga raya.
“Mangkuk itu juga melambangkan nasi, yang merupakan makanan ruji rakyat Asia manakala pancuran air melaluinya melambangkan perpaduan, sinergi dan kebersamaan,” jelas Yap.
Rupa-rupanya, hajat beberapa orang telah tercapai setelah mereka melontarkan syiling ke dalam kolam pancuran itu.
“Antara cerita yang kami dengar adalah mengenai seseorang yang memenangi jackpot dan ada yang berkahwin dengan lelaki/wanita idaman mereka selepas melontarkan syiling ke dalam kolam pancuran kami,” kata Yap.
Beliau berkata pusat beli-belah itu selalunya akan memberikan hadiah penghargaan kepada orang ramai yang “kembali dan memberitahu kami kisah-kisah impian mereka yang tercapai,” katanya.
SYILING DIDERMAKAN KEPADA BADAN AMAL
Menurut Yap lagi, syiling dari kolam pancuran itu dikumpul setiap bulan dan digunakan untuk tujuan amal sebagai satu daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pusat beli-belah berkenaan.
“Kami bukan sahaja mengumpul syiling Malaysia tetapi juga syiling dari negara-negara lain di dunia ini,” katanya.
Pelancong dari Kuwait, Aliyah al Bhasir, 32, yang hadir pada pelancaran perayaan Deepavali Pavilion Kuala Lumpur itu berkata beliau telah melontarkan syiling ke dalam kolam pancuran itu dan berharap segala impiannya akan menjadi kenyataan.
“Saya juga mendoakan agar Malaysia terus makmur… saya tahu mengenai air pancut ini daripada rakan-rakan dan saudara mara dan ingin mencuba nasib di sini. Saya gembira berada di sini pada musim perayaan ini,” katanya.
Rakesh Subramaniam, 27, dari Melaka berpendapat, melontarkan syiling ke dalam kolam pancuran itu pada musim perayaan adalah satu idea yang baik memandangkan ramai yang percaya bahawa musim perayaan adalah tempoh yang bertuah.
“Menjadi harapan saya semoga pesta cahaya tahun ini akan membawa sinar kepada masa depan Malaysia kerana negara ini telah melalui pelbagai cabaran,” katanya. – BERNAMA