BALING – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diminta untuk menyegerakan projek tebatan banjir di kawasan berhampiran sungai bagi mengelakkan banjir melanda beberapa buah kampung di sini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata beliau telah mengeluarkan arahan tersebut kepada JPS supaya bertindak serta-merta bagi mencegah kejadian hakisan di tebing sungai.
“Projek tebatan sungai merupakan kes kecemasan dan (pihak terlibat) diarahkan supaya bertindak serta-merta,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Kompleks Belia dan Sukan Batu 42 di sini, malam tadi.
Dua keluarga di daerah ini hilang tempat tinggal apabila tapak rumah mereka yang terletak di tebing Sungai Ketil runtuh berikutan arus sungai yang deras akibat hujan lebat.
Kedua-dua keluarga terlibat telah pun dipindahkan ke Keda Banggol Petai. – BERNAMA