KUALA LUMPUR – Skim perlindungan keselamatan sosial bagi menjaga kebajikan pemandu teksi di negara ini yang dirangka Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dijangka dimuktamadkan hujung tahun ini, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib berkata proses konsultasi dengan pelbagai pihak yang terlibat mengenai perincian skim itu sedang berjalan ketika ini.
“Apabila kerajaan bersetuju dengan skim keselamatan sosial ini, satu peruntukan akta berkaitan akan diwujudkan,” katanya menjawab soalan Charles Anthony Santiago (DAP-Klang) mengenai pelan kerajaan dalam menubuhkan skim tersebut.
Ismail berkata kajian lanjutan dari segi kemampuan dana pemandu teksi termasuk yang bekerja sendiri perlu dibuat bagi memastikan skim berkenaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Bagi pemandu teksi yang bekerja sendiri tanpa majikan yang mempunyai syarikat berdaftar, caruman akan dibuat oleh mereka sendiri dan kita perlu melihat kemampuan mereka,” katanya.
Sementara itu, Ismail berkata secara keseluruhan, kerajaan melalui Perkeso telah memperuntukkan dana sebanyak RM2.5 bilion bagi membiayai dan menanggung pekerja yang terlibat dalam kemalangan di tempat kerja.
Menjawab soalan Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong), Ismail berkata usaha menjaga kebajikan pemandu teksi secara langsung adalah tertakluk di bawah tanggungjawab Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
“Pihak SPAD dengan amat serius telah mengambil langkah-langkah yang berpatutan dan inilah kesungguhan kerajaan untuk membela nasib pemandu-pemandu teksi yang ada di negara ini,” katanya. – BERNAMA