KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menghubungi peguam kepada ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low bagi menetapkan tarikh merakam percakapan beliau.
Bagaimanapun SPRM tidak akan mendedahkan hasil perbincangan itu supaya ia tidak mengganggu siasatan yang sedang dijalankan.
“SPRM hanya menjalankan siasatan ke atas SRC International Sdn Bhd dan derma RM2.6 bilion kepada YAB Perdana Menteri dan tidak menyiasat isu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB),” demikian menurut Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam jawapan bertulis yang diedarkan di Dewan Rakyat Isnin.
SRC International adalah bekas anak syarikat 1MDB.
Menjawab soalan Jeff Ooi Chuan Aun (DAP-Jelutong), JPM berkata siasatan SPRM adalah berdasarkan pembahagian tugas yang telah dibuat oleh Peguam Negara manakala siasatan 1MDB kini adalah di bawah bidang kuasa pihak polis.
Jeff dalam soalannya bertanyakan usaha SPRM menahan Jho Low untuk membantu siasatan kewangan 1MDB. – BERNAMA