PENGARAH Azma Aizal Yusoof mengakui bersalah atas tindakannya mengasari pelakon, Ika Nabella di set penggambaran drama Dawai Asmara baru-baru ini.
Bercakap kepada Berita Harian, Azma memberitahu, atas kesalahannya itu dia telah didenda sebanyak RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Ampang, pada Isnin.
Sementara itu, Azma yang popular menerusi watak ‘Butang’ dalam drama Sindarela juga memberitahu telah memohon maaf kepada Ika susulan tindakannya itu.
“Saya akui kesalahan saya menampar Ika atas niat kerana ingin memberikan mutu lakonan terbaik bagi drama bersiri arahan saya
“Namun bukan semua orang dapat menerima teknik yang saya gunakan. Jadi saya membuat keputusan menyerah diri kepada polis sehari selepas Ika membuat laporan.
“Saya ada menghantar mesej kepada Ika meminta maaf kerana mengasarinya. Dia membalas mesej dan turut memohon maaf terhadap apa yang berlaku.
“Alhamdulillah perkara yang terjadi mematangkan saya. Insiden ini memberi impak bukan saja kepada saya dan Ika malah kepada seluruh warga produksi,” ujarnya.
Dalam pada itu, Azma turut menyatakan dia tidak lagi mengendalikan drama Dawai Asmara tersebut ekoran memilih untuk mengundur diri.
Jelasnya, keputusannya itu atas rasa tanggungjawab dan perkara itu telah dimaklumkan kepada penerbit drama berkenaan iaitu Datuk Rosyam Noor.
Terdahulu, Ika yang memegang watak utama dalam drama Dawai Asmara dilaporkan ditumbuk di bahagian muka dan badan bertubi-tubi oleh pengarah drama tersebut iaitu Azma ekoran pelakon itu gagal melakonkan apa yang diinginkan.
Susulan itu, Ika telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut. – MYNEWSHUB.CC
Sumber: BH Online
[youtube https://www.youtube.com/watch?v=ygd6Hbxe42E]