SEREMBAN – Tenaga Nasional Bhd (TNB) Negeri Sembilan masih menjalankan siasatan teknikal berhubung kejadian seorang remaja yang maut dipercayai terkena renjatan elektrik berhampiran gelanggang bola keranjang di Taman Desa Melati 2, Nilai pada Jumaat lepas.
Pengurus Besar TNB Negeri Sembilan, Ahmad Fuad Kassim berkata hasil siasatan dijangka akan diperoleh dalam masa seminggu.
“Buat masa sekarang, pihak kami akan meletakkan tanda halangan supaya penduduk di sekitar kawasan tersebut tidak lagi melalui jalan tersebut.
“Ini kerana tempat berlakunya kejadian pada asalnya merupakan lintasan kabel untuk paip TNB, tetapi penduduk sekitar menggunakkannya sebagai laluan pintas,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Ahmad Fuad berkata pihaknya juga masih menunggu laporan bedah siasat mangsa bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan sebelum mengambil apa-apa tindakan.
Dalam kejadian Jumaat lepas, seorang remaja Iman Danish Mohd Sazali, 16, maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika melalui jalan pintas di satu kawasan berhampiran substesen TNB, ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas bermain bola keranjang di gelanggang berdekatan. – BERNAMA