SEBUT saja nama Nor Syafiza Iskandar Azizan, mungkin ramai tidak tahu siapakah figura ini. Namun jika disebut nama Feeya Iskandar @Cik Piah, ramai yang akan mengimbau kepada personaliti radio TV dan radio terkenal ini.
Dia pernah mencuri tumpuan ramai peminat industri hiburan tanah air apabila muncul sebagai pengacara menerusi program pertandingan Maharaja Lawak terbitan stesen penyiaran Astro tidak berapa lama dahulu.
Siapa yang boleh lupa gadis genit itu yang muncul dengan kasut tumit tinggi dan celotehnya bersahaja setiap kali program tersebut ke udara.
Siapa yang boleh lupa deejay radio Sinar FM yang mampu mengajuk suara Datuk Siti Nurhaliza dan keletahnya yang ceria setiap kali suaranya muncul dalam program Santai Sinar di radio tersebut pada setiap petang.
Pernah menyertai program realiti, Anak Wayang pada 2010, Feeya tidak mensia-siakan pakej dan bakat yang ada pada dirinya untuk diketengahkan sebagai seorang penyampai radio.
Selepas tersingkir daripada Anak Wayang, kebetulan masa itu stesen Era FM membuka uji bakat mencari penyampai radio separuh masa.
Dia menghadiri uji bakat tersebut untuk mencuba nasib dan nasib menyebelahinya kerana berjaya melayakkan diri menjadi seorang deejay.
Setelah berjaya dipilih menjadi penyampai radio separuh masa di Era FM, Feeya ditawarkan pula berkhidmat di stesen radio XFM selama dua bulan.
Akhirnya Feeya ditawarkan oleh stesen radio Sinar FM untuk menjadi penyampai mereka secara sepenuh masa sehinggalah ke hari ini.
Namun di sebalik semua itu, ramai yang tidak tahu Feeya sebenarnya hampir-hampir putus asa dan membuat keputusan untuk mengundurkan diri dari bidang hiburan yang sangat diminatinya itu.
Semuanya gara-gara kemunculannya dalam program Maharaja Lawak yang dianggap agak ‘seksi’ hingga dicemuh dan dikritik dengan hebat dalam media sosial.
Feeya mengakui, ketika itu dia mengambil masa yang agak lama untuk ‘pulih’ dari fasa kemurungan yang dialaminya. Namun akhirnya dia mengambil keputusan untuk ‘bangun’ dan tidak lagi menoleh ke belakang.
“Saya seorang yang ceria dan periang dan karektor ini bukanlah dibuat-buat sebenarnya. Saya juga sentiasa terbuka kepada pandangan dan kritikan serta sentiasa berusaha untuk menjadi lebih baik dalam kehidupan dan kerjaya saya.
“Namun saya juga manusia biasa yang punya hati dan perasaan. Jadi bila saya dicemuh dan dikritik dengan sebegitu teruk, sudah tentu saya cukup sedih…
“Apatah lagi saya tinggal jauh dari keluarga dan tinggal seorang diri demi mencari rezeki halal di Kuala Lumpur.
“Akhir sekali saya mengambil keputusan untuk terus bergerak ke hadapan dan meninggalkan semua aura negatif yang pernah membuatkan saya ‘down’ untuk sekian lama,” katanya secara eksklusif kepada Mynewshub baru-baru ini.
Ternyata usaha Feeya tidak sia-sia. Jika sebelum ini dia hanya dikenali sebagai pengacara TV dan penyampai radio, tidak lama lagi Feeya akan melangkah satu lagi fasa iaitu dengan bergelar sebagai artis rakaman.
Segalanya bermula apabila penyanyi terkenal, Awi Rafael melihat potensi yang ada pada dirinya dan terus ‘melamar’ Feeya untuk bekerjasama dalam bidang seni suara.
Menurut Feeya, ia merupakan satu keterujaan buat dirinya kerana menyanyi merupakan minatnya yang utama selain bidang pengacaraan.
Setakat ini Feeya sudah pun menyiapkan sebuah ‘single’ yang dijangka akan menemui peminatnya tidak lama lagi.
“Cuma yang pasti, saya sudah tentu tidak akan memainkan lagu sendiri sewaktu bertugas di konti. Kalau ia mampu menarik minat dan berkat sokongan rakan-rakan media sosial, Insha’Allah percaturan ini tidak mungkin akan jadi sia-sia,” katanya yang kini mempunyai ‘follower’ lebih 350,000 orang dalam akaun Instagram.
Dalam pada itu, Feeya juga sedang berdebar menunggu hari bahagianya bersama seorang jejaka yang juga seorang ahli perniagaan, Nurashid Abd. Wahab.
Jika segalanya berjalan lancar, Feeya mengakui akan menamatkan zaman bujangnya dengan lelaki tersebut tidak lama lagi.
Ujar Feeya, sebenarnya dia baru beberapa bulan mengenali Nurashid. Segalanya bermula di sebuah majlis perkahwinan di mana teman lelakinya itu merupakan pengusaha katering di majlis tersebut.
Daripada sekadar teman biasa, lama-kelamaan mereka jatuh cinta dan terus mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga.
Yang penting, tambah Feeya, keluarga kedua-dua belah pihak merestui hubungan mereka berdua untuk melangkah ke satu fasa yang paling bersejarah dalam hidup dia dan jejaka tersebut.
“Saya tidak mempunyai kekasih hati sebelum ini. Kemunculan Nurashid telah merubah segalanya dan Allah telah membuka pintu hati saya untuk menerima kehadiran seorang lelaki untuk bergelar suami.
“Alhamdulillah dia bukanlah seorang yang terlalu kuat cemburu… dan ini sangat menyenangkan saya kerana maklumlah sebagai anak seni bukan mudah untuk mencari pasangan yang memahami karier yang telah kita pilih ini.
“Saya juga langsung tidak takut kehilangan peminat jika berkahwin kerana saya percaya mereka lebih menghargai kesungguhan dan bakat yang saya miliki berbanding kisah peribadi saya. Saya dambakan doa mereka sebenarnya,” katanya sebelum menamatkan perbualan. – MYNEWSHUB.CC
#universalmusicmalaysia #hanyasatu #gilamuzik #feeya #runaway #RumpunUniversal