ANKARA – Sebuah kawasan rehat awam di bandar raya terbesar Turki, Istanbul memasang 600 kerusi taman direka khas hanya digunakan oleh wanita yang berasa ‘tidak selesa’ apabila duduk sebangku dengan lelaki asing.
Kerusi berwarna cerah dan merah berjaya menarik perhatian ramai pengunjung di Avcilar itu juga boleh diputar 360 darjah sehingga wanita tersebut dapat menghadap arah yang mereka inginkan, lapor portal berita Haberler.
Daerah Avcilar yang berdepan dengan Laut Marmara hanya berkeluasan kira-kira 39 kilometer persegi serta penduduk sekitar 400,000 orang itu memang terkenal kerana memiliki kadar jenayah tinggi hampir dua dekad.
Kerusi ini turut mempunyai tempat untuk menggantung tas tangan atau beg kecil. Jika tidak digunakan, kerusi khas taman ini dapat dilipat sehingga membentuk seumpama corak tulip, sejenis bunga kebanggaan warga Turki.
Tulip yang memang berasal dari negara tersebut turut popular di seluruh kota Istanbul, malah pihak berkuasa tempatan sering mengadakan festival bunga tulip tahunan sehingga menjadi tarikan utama pelancong asing.
Datuk bandar Istanbul, Handan Toprak menyatakan, beliau mendapat ilham mengenai kerusi itu setelah melihat seorang wanita berumur tampak letih tetapi ‘serba salah’ duduk di bangku bersama seorang lelaki tidak dikenali.
“Saya tahu mereka bimbang jika duduk dengan orang asing, apatah lagi lelaki yang mereka sendiri tidak kenal, dan mungkin mencetuskan fitnah konon kedua-duanya ada hubungan sulit,” katanya dipetik akhbar Daily Sabah.
“Justeru kita harus memberikan alternatif kepada wanita, pilihan yang bebas,” jelas Handan. Setakat ini ujarnya, sejumlah 600 kerusi khas sedemikian akan segera dipasang di lebih banyak lagi lokasi sekitar kawasan tersebut. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA