SEORANG wanita bertindak berani melawan apabila dua lelaki yang menaiki motosikal di  satu kawasan perumahan, Kepong mahu menjadikannya mangsa ragut.
Rakaman CCTV yang sedang tersebar menunjukkan, dua suspek menghampiri wanita itu semasa dia sedang berjalan seorang diri, sebelum cuba meragut beg tangannya.
Walaupun hilang keseimbangan hingga terjatuh ekoran tindakan itu, wanita terbabit segera bertindak balas dengan menarik beg tangannya yang cuba dirampas oleh salah seorang suspek.
Adegan tarik menarik pun berlaku apabila masing-masing tidak mahu melepaskan beg, malah suspek turut dilihat menendang mangsa kerana geram dengan tindakannya.
Bagaimanapun mungkin kerana masa terbuang dah terlalu lama, suspek akhirnya putus asa dan kembali membonceng motosikal bagi melarikan diri.
Dalam sesetengah keadaan tindakan seperti mangsa dalam CCTV ini boleh dipuji tetapi sebaliknya, jika situasi boleh mengancam nyawa serahkan saja barangan berharga sambil mengenalpasti identiti peragut dan kenderaannya untuk diserahkan kepada tindakan lanjut oleh pihak polis. – MYNEWSHUB.CC