GARA-gara terperangkap dalam kesesakan teruk lalu lintas yang disebabkan penganjuran sidang kemuncak antarabangsa APEC, seorang wanita Filipina dilaporkan terpaksa melahirkan anaknya di kaki lima di Manila.
Memetik laporan media tempatan, wanita yang tidak dikenali itu selamat melahirkan seorang bayi lelaki pada Isnin lalu.
Difahamkan, wanita hamil yang terperangkap dalam kesesakkan trafik itu melahirkan anaknya dengan bantuan dua orang anggota polis dan beberapa orang awam.
Insiden tidak diduga itu turut menjadi viral menerusi laman sosial setelah seorang netizen yang dikenali sebagai Angel Ramos-Canoy memuat naik gambar kejadian tersebut di laman Facebook.
Menerusi gambar itu, seorang wanita dan seorang polis wanita sedang memegang bayi yang dibaluti dengan kain putih manakala tali pusatnya kelihatan masih belum lagi dipotong.
Namun, Canoy tidak menyatakan sebarang maklumat tentang di manakah kejadian itu berlaku.
Keadaan lalu lintas ibu kota Filipina dilaporkan bertambah teruk ekoran polis menutup beberapa jalan raya utama untuk memberi laluan kepada para pemimpin dunia supaya perjalanan mereka cepat dan selamat semasa sidang kemuncak tersebut. – MYNEWSHUB.CC
SUMBER: Daily Mail
[youtube https://www.youtube.com/watch?v=1f7bMmdMRQs]