SEORANG ibu berasal dari Essex yang mengalami keguguran, ditahan polis selepas bilik air rumahnya didapati berlumuran dengan darah.
Lauren Bull, 29, langsung tidak mengetahui bahawa dia mengandung dan apabila sedar, berada dalam keadaan berlumuran darah pada 4 November lalu.
Lauren juga pengsan sebanyak tiga kali hingga terpaksa dikejarkan ke hospital.
Ketika dirawat, Lauren memberitahu doktor bahawa mayat bayinya mungkin masih berada di bilik air menyebabkan polis terus dikejarkan ke sana.
Bagaimanapun keesokan harinya, Lauren telah ditangkap. Dia sebelum itu disahkan mengandung antara 18 hingga 22 minggu.
Lauren bersama kekasihnya, Jack Walker telah ditangkap kerana disyaki membunuh dan mereka terpaksa bermalam di lokap polis.
Hanya pada keesokan harinya, barulah polis mengetahui apa berlaku dan menggugurkan tuduhan berkenaan namun mereka masih menyangka bahawa pasangan itu melakukan sesuatu yang salah dan menuduh mereka cuba menyembunyikan kelahiran anak.
Mereka telah diikat jamin sementara siasatan diteruskan.
Kini kehidupan pasangan itu umpama mimpi ngeri disebabkan pengalaman menakutkan itu malah mereka tidak dapat mengebumikan mayat anak mereka.
Jiran-jiran juga berpandangan serong terhadap mereka.
“Sebelum meninggalkan rumah untuk ke hospital, kami telah mencuci bilik air disebabkan kami tidak mahu dua anak kami yang lain berasa bimbang dan terkejut apabila bangun pagi.
“Terdapat banyak darah di atas lantai,’’ kata Lauren.
Ia dikatakan menjadi punca polis mengesyaki mereka melakukan sesuatu.