Lawas – Seorang wanita warga emas ditemui rentung dalam kebakaran membabitkan dua rumah di Kampung Gelapas, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi, mangsa Tiamah Montol berusia lebih 100 tahun ditemui di bahagian bilik tidur salah sebuah rumah berkenaan.
Kejadian itu turut menyebabkan seorang lelaki berusia 50-an melecur di kepala sebelum dikejarkan ke Hospital Lawas untuk rawatan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Mohd Farhan Sufyan berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada 4.25 pagi, sebuah jentera bersama sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, api sudah marak dan membakar 80 peratus kedua-dua rumah terbabit.
“Api berjaya dikawal pada 5.02 pagi sebelum mayat ditemui dan diserahkan kepada polis,” katanya.
Menurutnya, punca dan jumlah kerugian sebenar masih dalam siasatan. – myMetro Online