IPOH – Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mencabar pembangkang untuk membawa isu Perbadanan Menteri Besar atau MB Inc kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sambil menegaskan bahawa MB Inc bukan miliknya, Zambry berkata dakwaan yang dicetuskan pembangkang itu bertujuan mewujudkan persepsi buruk rakyat Perak terhadap kerajaan negeri.
“Mereka (pembangkang) mencabar Menteri Besar Perak untuk umum semua perjanjian (dalam MB Inc) sehingga pukul 5 petang ini, sekiranya tidak (umum), mereka akan serah kepada SPRM.. dipersilakan.
“MB Inc yang diwujudkan sejak 1951, diwujudkan semula untuk menambah hasil negeri,” katanya ketika menggulung perbahasan Bajet 2016 pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini semalam.
Zambry, yang kecewa apabila pembangkang terus-terusan menyerang beliau dengan mendakwa MB Inc disalah guna, berkata selepas MB Inc diaktifkan semula pada 2013, bukan senang untuk menjana pendapatan kepada kerajaan negeri dalam masa yang begitu singkat.
“Pada 2012, pembangkang ada berhujah bahawa Perak tiada hasil baharu, dengan itu kerajaan negeri memikirkan bagaimana untuk mencari hasil-hasil baharu kepada negeri,” katanya.
Sementara itu, Zambry memuji kecekapan MB Inc yang mampu melunaskan hutang sebanyak RM500,000 kepada kerajaan negeri dalam masa enam bulan selepas ia diaktifkan.
“Pada peringkat awal, kerajaan negeri memberi pinjaman sebanyak RM500,000 kepada perbadanan itu untuk memulakan balik, setelah berpuluh-puluh tahun ia tidak aktif.
“Walaupun bermula dengan merangkak-rangkak, dalam tempoh tiga tahun ini, MB Inc memberi hasil kepada kerajaan negeri sebanyak RM1 juta setiap tahun,” katanya.
Selain itu, MB Inc diaktifkan bagi mengatasi masalah ketirisan pasir yang mana isu tersebut sering dibangkitkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pasir yang turut dianggotai ADUN pembangkang.
“Kita atasi masalah ketirisan ini, yang sering dibangkitkan pembangkang dan BN (Barisan Nasional). Sebab itu kita wujudkan MB Inc untuk menambah hasil negeri dan atasi masalah ketirisan,” katanya.
Zambry juga berkata menerusi pendekatan MB Inc, pendapatan yang dijana hasil daripada tanah liat di kawasan Trong adalah sebanyak RM40,000 sebulan berbanding RM40,000 setahun sebelum ini.
Menyentuh isu keselamatan dan ekstremisme, beliau berkata meskipun mempunyai perbezaan politik, wakil rakyat dinasihat agar tidak berbalah antara satu sama lain kerana ia akan menimbulkan satu suasana keresahan dalam kalangan rakyat.
“Politik kebencian tidak perlu dimainkan dan dilaung-laungkan, ini termasuk hal-hal berkaitan dengan sensitiviti agama, kaum tak boleh dimainkan, umpamanya memanggil orang itu pendatang dan sebagainya,” katanya.
Zambry juga berkata isu kemiskinan di Perak tidak seteruk seperti yang digambarkan pembangkang kerana fakta mereka hanya berdasarkan kepada kumpulan isi rumah berpendapatan rendah (B40).
Sebaliknya beliau berkata, terdapat pelbagai faktor perlu diambil kira dalam penentuan itu termasuklah faktor demografi dan kependudukan. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]VYNaDlf_bsk[/wpdevart_youtube]