KOTA BHARU – “Saya runsing sangat melihat hujan lebat dalam beberapa hari ini. Takut bah besar macam tahun lepas mari lagi,” kata Rohana Awang, seorang penduduk di Manek Urai Lama, Kuala Krai sebaik memulakan bicaranya dengan penulis mengenai musim tengkujuh sekarang ini.
Hampir setahun bencana banjir yang membawa banyak kemusnahan di bumi Kelantan itu berlalu namun Rohana, 44, mengenang Disember lepas sebagai membawa trauma besar dalam hidupnya.
Kemuncak banjir berlaku pada 24 Dis, 2014 sehingga beliau beranggapan situasi itu “antara hidup dan mati” apabila terpaksa berhadapan dengan air yang mampu menenggelamkan aras dua bangunan Sekolah Kebangsaan Manek Urai.
“Air semakin naik, saya bersama anak berusia lapan tahun dan lebih 300 orang penduduk terpaksa berpindah dari aras bawah ke aras satu kemudian ke aras dua sebelum ke aras tiga (aras terakhir) bangunan sekolah. Sukar untuk dibayangkan ketika itu, apa pun kami semua selamat di aras tiga kerana air hanya menenggelamkan sehingga aras dua,” tambahnya air mulai surut beberapa hari kemudian.
PERISTIWA YANG MENAKUTKAN
Rohana yang rumahnya bersebelahan sekolah berkenaan, mengimbau kembali peristiwa itu sebagai amat menakutkan, antaranya beliau dapat menyaksikan sembilan buah rumah penduduk dihanyut arus di kawasan kampungnya yang sudah menjadi “lautan”.
“Kadangkala bangunan sekolah terasa bergegar apabila dilanggar rumah dan kayu balak yang hanyut selain arus yang deras,” katanya sambil ketika itu turut membayangkan adakah masih wujud lagi rumahnya atau senasib dengan rumah lain yang hanyut dibawa arus.
Apabila banjir surut, perkampungan Manek Urai Lama itu bagaikan “dilanggar garuda” akibat tsunami arus banjir yang kuat menyebabkan banyak kemusnahan termasuk rumah hanyut dan rosak serta dipenuhi lumpur tebal.
“Rumah saya tidak hanyut tetapi mengalami kerosakan yang teruk, sehingga sekarang pun kami sekeluarga tinggal dalam kontena yang dijadikan tempat berlindung sementara sebelum rumah dapat dibaik pulih sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata sekarang ini, anak perempuannya itu masih trauma sehingga takut untuk melihat air Sungai Galas yang menyebabkan banjir besar di kawasan berkenaan.
Rohana berkata beliau dilahirkan di kampung tersebut dan seingat beliau apabila tiba musim tengkujuh setiap tahun pasti berlaku banjir dan tahun lepas adalah bencana paling teruk dan “dahsyat”.
“Masa saya kecil-kecil dan remaja dahulu selalu main air banjir hingga arwah ayah marah, masa tu banjir ni perkara biasa, seronok,” tambahnya sekarang ini istilah “pesta banjir’ sudah tidak wujud lagi.
TRAUMA BANJIR MENGHIMPIT
Rata-rata penduduk di Manek Urai Lama yang ditemui menceritakan kisah hampir sama kepada penulis dan masing-masing berharap musim tengkujuh tahun ini tidak membawa bersama banjir luar biasa seperti akhir tahun lepas.
Manek Urai Lama adalah antara banyak kawasan di Kelantan yang terjejas teruk akibat bencana banjir tahun lepas dan mengikut rekod Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan bagi seluruh negeri ini terdapat kira-kira 170,000 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan.
Rata-rata perkampungan yang terjejas teruk itu terletak berhampiran dengan Sungai Galas, Sungai Lebir, Sungai Nenggiri dan Sungai Kelantan, meliputi jajahan Gua Musang, Kuala Krai, Machang, Tanah Merah, Pasir Mas, Tumpat dan Kota Baharu.
Rata-rata penduduk di kawasan yang teruk dilanda banjir telah membuat persiapan sekurang-kurangnya bagaimana untuk menyelamatkan diri dan keluarga apabila berlaku banjir.
Bagi penduduk yang berhampiran dengan bukit dan agak jauh daripada pusat pemindahan, mereka membina bangsal atas bukit dan menyediakan bot manakala mereka yang tiada kawasan tanah tinggi membina rumah rakit sementara menunggu bantuan daripada pihak berkuasa.
Pihak berkuasa pula didapati telah membuat persiapan bagi menghadapi kemungkinan banjir terutama dalam operasi menyelamat dan mengagihkan bantuan barangan keperluan asas kepada mangsa banjir agar teratur dan sampai kesasaran.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Negeri (JPBN) Kelantan menyatakan sebanyak 773 pusat pemindahan yang mampu memuatkan 220,290 orang telah disediakan berbanding 687 pusat pemindahan pada tahun lepas.
Pengerusinya Datuk Faudzi Che Mamat berkata sebanyak 175 pangkalan hadapan iaitu tempat menyimpan barang keperluan asas, telah diwujudkan tahun ini berbanding 170 buah tahun lepas termasuk tambahan empat mini depoh di Pasir Mas,
Kuala Krai, Tanah Merah dan Gua Musang.
“Kekuatan anggota penyelamat turut ditambah kepada 4,269 orang berbanding 3,260 tahun lepas selain tambahan aset menyelamat termasuk 108 buah lori, pacuan empat roda (189), bot (205), enjin sangkut (144) dan jaket keselamatan (2,966 helai).
“Sebanyak 142 lokasi pendaratan helikopter disediakan dengan tambahan 33 lokasi baharu di seluruh negeri ini,” katanya yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan.
SEBARKAN BERITA YANG DISAHKAN
Sebelum mengakhiri perbualan dengan penulis, Rohana berkata sebarang maklumat berkaitan banjir termasuk laporan cuaca dan hujan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia amat penting dan beliau sentiasa mengikuti perkembangan yang disiarkan melalui radio dan televisyen serta akhbar.
Namun beliau berharap pengguna laman sosial seperti melalui aplikasi facebook dan whatsapp, dapat menyebarkan berita yang sudah disahkan kerana penyebaran maklumat palsu akan mencetuskan suasana panik dan kelam-kabut dalam masyarakat.
“Kami sudah cukup trauma, jangan tambahkan lagi ketakutan kami dengan mengada-adakan berita yang tidak benar. Nasihat saya sebarlah sesuatu perkara yang bermanfaat kepada masyarakat,” katanya.
Cadangan Rohana itu selaras dengan gesaan pelbagai pihak lain termasuk polis dan tentera yang tidak mahu pengguna laman sosial menyebarkan maklumat palsu berkaitan sesuatu bencana seperti banjir.
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) melalui khutbah Jumaat pada 27 Nov lepas yang dibacakan di semua masjid di negeri ini turut mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dalam menyebarkan berita berkaitan sesuatu bencana termasuk banjir.
“Berhati-hati menyebarkan sebarang berita tentang musibah, pastikan kebenarannya. Ini bagi mengelak berlakunya kegawatan dan huru-hara dalam masyarakat,” kata Imam Tua (imam 1) Masjid Muhammadi Kota Baharu, Rosli Che Soh ketika menyampaikan khutbah berkenaan. – BERNAMA
MFb_M6xQ2ag