SEORANG remaja perempuan berusia 13 tahun cedera parah selepas terjatuh dari tingkat tiga sebuah pangsapuri yang terletak di Jalan Kayu Madang Telipok, Kota Kinabalu, malam tadi.
Dalam kejadian 10.45 malam itu, mangsa yang dikenali sebagai Nur Farah Atirah Faizal Rizal dikatakan terjatuh ketika menyidai kain di bahagian balkoni rumah kediaman tersebut.
Mangsa yang mengalami pendarahan teruk di kepala kemudian dikejarkan ke Hospital Tuaran sebelum dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE 2) untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M. Chandra berkata, kejadian itu disedari apabila bapa mangsa terkejut setelah terdengar dentuman kuat.
“Bapa mangsa terus keluar ke balkoni sebelum mendapati anaknya berada dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri di lantai simen,” katanya.
Berdasarkan laporan kesihatan, mangsa mengalami retak tempurung kepala, namun kini berada dalam keadaan stabil. – MYNEWSHUB.CC
[youtube https://www.youtube.com/watch?v=aw_INmA0s2g]