PUTRAJAYA – Penyelia Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) diseru agar sentiasa menambah ilmu baru mengenai penjagaan anak-anak kelainan upaya bagi membantu mereka memajukan serta menyerlahkan lagi potensi diri.
Isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor berkata golongan istimewa itu amat memerlukan bantuan daripada penyelia untuk meneruskan kelangsungan hidup dengan lebih sempurna menuju ke arah tahap yang lebih baik.
Beliau berkata kecacatan seseorang tidak seharusnya dilihat sebagai satu beban, malah ia juga bukan penghalang untuk mereka maju dan bergerak sama dalam membangunkan sesebuah negara.
“Saya berharap penyelia dapat mendidik dan membimbing anak-anak istimewa ini dengan lebih efektif lagi, di samping menggunakan kaedah metadologi yang bersesuaian agar membantu mereka menjalani kehidupan seharian, selain mampu berdikari,” katanya.
Rosmah, yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Konvokesyen Penyelia PDK seluruh Malaysia di sini Sabtu.
Sejumlah 101 penyelia dari 508 Pusat PDK menerima Sijil Kemahiran Tahap Tiga pada majlis konvokesyen itu yang dianjurkan oleh Semai Bakti sempena Sambutan 10 Tahun Program Semai Bakti.
Dalam pada itu, Rosmah berkata mendidik anak-anak istimewa itu mempunyai cabarannya yang tersendiri serta menuntut kesabaran dan komitmen yang amat tinggi.
“Dengan penerimaan dan sokongan yang diberi serta memahami keperluan dan kehendak golongan ini, ia akan membantu menyerlahkan lagi potensi dalam kalangan mereka dan berjaya dalam bidang masing-masing,” katanya.
Rosmah berkata walaupun jumlah cendekiawan, profesional, atlet, usahawan, pemuzik, penyanyi dan pelukis dalam kalangan OKU masih kecil, ia merupakan permulaan ke arah pencapaian kecemerlangan yang lebih tinggi dan perlu diperluaskan lagi pada masa akan datang.
Mengenai Program Semai Bakti, isteri perdana menteri berkata program itu memberi penekanan utama dalam penganjuran kursus yang bersesuaian dengan keperluan anak-anak istimewa di Pusat PDK di seluruh negara.
Katanya majlis konvokesyen itu adalah pengiktirafan terhadap pencapaian penyelia menghadiri kursus-kursus anjuran Program Semai Bakti sejak 2005 sehingga kini.
Pada majlis itu, Rosmah turut melancarkan buku terbitan Semai Bakti bertajuk ‘OKU Dari Perspektif Islam’, yang menjelaskan kedudukan istimewa golongan itu dalam masyarakat dengan status dan hak sama dengan masyarakat normal yang lain. – BERNAMA