KUALA LUMPUR – “Speaker Dewan Rakyat perlu meletakkan jawatan kerana tidak mampu berfungsi dengan efisien dan bebas,” kata Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Beliau mendakwa Tan Sri Pandikar Amin Mulia menunjukkan sikap berparti apabila meminta dua Ahli Parlimen DAP, Lim Lip Eng (Segambut) dan Ng Wei Aik (Tanjong) meletak jawatan
Dakwa beliau, seorang speaker Dewan Rakyat tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan akan mengabaikan mana-mana Ahli Parlimen sewaktu persidangan kerana mereka mewakili suara rakyat.
“Tidak boleh diterima akal ada speaker Parlimen yang menggunakan isu peribadi ke atas Ahli Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Pandikar Amin semalam meminta Lip Eng dan Wei Aik meletak jawatan sekiranya penambahbaikan Parlimen dilaksanakan dalam sesi persidangan awal tahun depan.
Desakannya itu berikutan tuduhan dua ahli parlimen DAP terbabit yang mendakwa Pandikar Amin gagal dan tidak menunaikan janji untuk membentangkan pembaharuan Parlimen.
“Saya nak mereka letak jawatan atau mengosongkan kerusi mereka jika pada fasa pertama pembaharuan akan dilaksanakan pada awal tahun depan dalam sesi Parlimen.
“Kalau mereka tidak letak jawatan, kalaupun mereka bangun beratus kali untuk mahu bercakap atau turut berbahas, saya tidak akan jemput untuk bercakap di bawah Peraturan Mesyuarat 35,” katanya seperti dilaporkan sebuah portal berita. – MYNEWSHUB.CC