KUALA LUMPUR – Puteri UMNO hari ini mendesak kerajaan melalui Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) supaya mengkaji semula dan merasionalisasikan kenaikan harga pengangkutan awam yang dilihat membebankan rakyat.
Menggunakan pentas perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO 2015 di sini, Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menyentuh berkenaan kadar tambang yang bagaikan sedang meraikan musim kenaikan harga memberi kesan yang sangat mendalam kepada orang muda.
Katanya Puteri UMNO melihat perkara utama yang mempengaruhi kos kehidupan wanita muda adalah pendapatan bulanan yang tidak seimbang dengan kepeluan kos sara hidup merangkumi kos pengangkutan, tempat tinggal dan keperluan untuk menabung.
Beliau berkata kenaikan tambang bagi projek Stesen Aliran Ringan (LRT) dan Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) serta pengenalan tambang yang agak tinggi bagi Bus Rapid Transit (BRT) membebankan pengguna.
“Warga kota kini amat terkesan dengan ketakstabilan ekonomi yang ketara. Bagi mereka yang baru merancang untuk memulakan kehidupan berkeluarga, beban kos sara hidup yang tinggi adalah perkara yang perlu diambil kira,” katanya.
Mas Ermieyati, yang juga Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, menegaskan pemerkasaan sistem pengangkutan awam perlu menjadi agenda utama kerana ia merupakan nadi kehidupan seharian masyarakat.
Statistik menunjukkan lebih 50 peratus pengguna pengangkutan awam adalah daripada kumpulan umur di bawah 35 tahun dan 52 peratus pengguna tersebut adalah golongan pelajar, katanya.
Beliau berkata matlamat memperkasa perkhidmatan pengangkutan awam bertujuan agar kualiti hidup rakyat dapat dipertingkatkan melalui lebih banyak pilihan mod pengangkutan dengan kos berpatutan untuk menjalankan aktiviti seharian.
“Jika kita gagal menarik minat kumpulan sasaran ini, matlamat jangka panjang untuk menjadikan sistem pengangkutan awam sebagai pilihan nombor satu tidak akan dicapai dan menyebabkan Malaysia ketinggalan dalam merealisasikan pembangunan lestari,” katanya.
Puteri UMNO dalam pada itu mengalu-alukan langkah Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) menawarkan pakej diskaun kepada pelajar, warga emas serta Orang Kurang Upaya (OKU) dan mahu lebih banyak syarikat pengendali perkhidmatan pengangkutan awam berbuat demikian, katanya.
Bagi meringankan bebas kos sara hidup, Mas Ermieyati berkata Puteri UMNO turut mencadangkan supaya program Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) diperkasakan lagi termasuk menambah jumlah cawangan serta menawarkan lebih banyak produk daripada pelbagai jenama.
Memohon masyarakat tidak terpengaruh dengan propaganda negatif yang dimainkan oleh pihak tertentu untuk menggagalkan usaha murni ini, Mas Ermieyati menegaskan: “Konsep KR1M bertujuan untuk meringankan beban serta menzahirkan kesejahteraan rakyat.”
Sebanyak 977 anggota Puteri UMNO dari seluruh negara hadir ke perhimpunan itu yang turut disertai tiga anggota Majlis Tertinggi UMNO iaitu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Datuk Seri Hasan Malek dan Datuk Sohaimi Shahadan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta isteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut meluangkan masa meninjau perhimpunan itu. – BERNAMA