PUTRAJAYA – Universitas Bung Karno (UBK), Indonesia berminat menjalin kerjasama dengan tiga universiti tempatan di negara ini dalam bidang minyak dan gas; pengurusan dan teknologi.
Hasrat tersebut dinyatakan pengasas Yayasan Pendidikan Soekarno, Rachmawati Soekarnoputri semasa melakukan kunjungan hormat ke atas bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di sini hari ini.
Dalam sidang media selepas itu, Dr Mahathir berkata tiga universiti dari negara ini yang dipilih oleh UBK ialah Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Multimedia (MMU) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP).
Dr Mahathir yang juga Presiden Kehormat Yayasan Kepimpinan Perdana berkata pihaknya akan menjadi pemudah cara bagi merealisasikan kerjasama antara UBK dengan UUM; MMU dan UTP.
“Kerjasama ini mungkin melibatkan pertukaran maklumat antara pensyarah dari Malaysia dan Indonesia,” katanya sambil menambah satu memorandum persefahaman (MOU) mengenainya sedang dirangka.
Sementara itu, Rachmawati berkata pihaknya berharap MOU itu dapat dimeterai secepat mungkin.
Beliau juga berkata pihak UBK telah menjemput Dr Mahathir untuk menyampaikan syarahan umum di Jakarta pada 6 Jun 2016. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]IfcBA_f5v7I[/wpdevart_youtube]