MELAKA – Seramai 36 anggota Unit Ronda Bermotosikal (URB) di Melaka akan dibekalkan dengan ‘bodycam’ (kamera badan) ketika melakukan rondaan bermula 1 Januari depan, kata Ketua Polis Melaka Datuk Chuah Ghee Lye.
Beliau berkata penggunaan alat berkenaan bertujuan melindungi keselamatan anggota ketika bertugas selain meningkatkan integriti mereka terutama kepada masyarakat.
“Bodycam akan memberi manfaat bukan sahaja kepada anggota tetapi juga kepada masyarakat dan ia boleh menjadi bahan bukti sekiranya terdapat aduan berhubung sikap anggota.
“Daripada rakaman kemera berkenaan, kita akan tahu situasi sebenar kerana sebelum ini saya ada terima aduan tetapi tidakan tidak dapat dilakukan kerana tiada bukti yang kukuh,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontijen Melaka di sini hari ini.
Chuah berkata rakaman bodycam berkenaan juga boleh membantu polis sekiranya penjenayah yang ditangkap dihadapkan ke mahkamah.
Mengulas lanjut, beliau berkata bodycam berkenaan mampu merakam visual dan audio selama lapan jam dan dilengkapi memori 400 GB.
Chuah berkata setiap rakaman ketika anggota melakukan tugasan akan dipindahkan ke komputer untuk tujuan rekod atau rujukan sekiranya terdapat aduan terhadap anggota.
“Semua rekod ini akan dipantau oleh penyelia dari semasa ke semasa untuk tujuan penambahbaikan ketika penugasan sekiranya perlu,” katanya.
Beliau berkata penggunaan bodycam berkenaan diharap dapat diperluaskan kepada anggota polis yang lain termasuk trafik dan unit Kereta Peronda (MPV) pada masa hadapan tetapi bergantung kepada peruntukan yang diterima.
Terdahulu, beliau turut menyempurnakan penyerahan 36 bodycam untuk kegunaan anggota unit URB, 32 kereta model Proton Inspira untuk kegunaan unit MPV dan 53 buah motosikal jenis Honda untuk kegunaan unit URB. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]KNRgYishzeo[/wpdevart_youtube]