HULU TERENGGANU – Lima sekeluarga termasuk dua orang kanak-kanak perempuan mati lemas ketika bercuti mandi-manda di kawasan perkelahan Air Terjun Belukar Bukit di sini tengah hari Sabtu.
Kesemua mangsa berasal dari Selangor itu dikenal pasti sebagai Abdul Halim Samian, 44; Nurul Adila@Salawati Awang, 39; Nurul Arifah Abdul Halim, 16; Nurul Aina Abdul Halim, 11; dan Nurul Izah Abdul Halim, 10.
Pegawai Bomba Kanan II Hulu Terengganu, Zuraidi Mohd. Yusof berkata, seorang lagi mangsa iaitu anak lelaki kepada keluarga tersebut, Mohd. Hasif Abdul Halim, 9; bagaimanapun selamat dan kini menjadi yatim piatu.
Beliau berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian malang tersebut pada pukul 11.35 pagi dan 11 anggota telah segera dikerah ke tempat kejadian.
“Mayat seorang lelaki dewasa dan dua kanak-kanak perempuan masing-masing dijumpai pada pukul 12.17 tengah hari, manakala pada pukul 12.33 tengah hari mayat seorang perempuan dewasa pula ditemukan.
“Mayat terakhir dijumpai pada pukul 12.37 tengah hari tidak jauh dari lokasi semua mangsa dilaporkan hilang. Kesemua mayat ditemukan anggota bomba dengan bantuan orang awam,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata kesemua mayat berasal dari Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor itu dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh waris terdekat. – BERNAMA