BERMULA Januari tahun depan, jualan murah hanya dibenarkan apabila barangan yang dijual menawarkan diskaun melebihi 70 peratus daripada kesemua barangan yang dipamerkan dalam premis yang sama.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, semua jualan murah perlu mendapat kelulusan dan apabila disahkan, perlu mencatatkan nombor pendaftaran jualan murah, logo KPDNKK serta tarikh jualan pada setiap pengiklanan.ÂÂ
Selain itu, para peniaga yang hendak mengadakan jualan murah juga diminta mempamerkan harga barangan yang ditawarkan terlebih dahulu, iaitu harga terendah dijual selama 28 hari berterusan dalam tempoh enam bulan, sebelum tarikh bermulanya jualan murah.
Tambahnya, notis jualan murah itu juga hendaklah dipamerkan di tempat yang mudah dilihat orang ramai. Manakala, butiran barangan dan harga boleh dipamerkan dalam apa-apa bentuk yang boleh difahami dan mudah dilihat.
“Mana-mana syarikat yang melanggar Peraturan-peraturan Perihal Dagangan (Harga Jualan Murah) (Pindaan) 2015 boleh didenda tidak melebihi RM100,000 buat pertama kali dan RM200,000 bagi kesalahan kedua serta berikutnya.
“Bagi pesalah individu, denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau bagi kesalahan kedua, denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun,” katanya di sidang media Majlis Gerakan Pengguna Kebangsaan (MGPK) di Kuala Lumpur pada Rabu.
Bagi peniaga yang ingin mengadakan jualan murah boleh memohon notis jualan murah secara dalam talian melalui njm.kpdnkk.gov.my. – MYNEWSHUB.CC
[youtube https://www.youtube.com/watch?v=BtvqwT3U5Ss]