WASHINGTON DC – Seorang bekas anggota bomba Amerika Syarikat (AS) yang bersara 10 tahun lalu menyatakan, kesan bunyi keras siren jentera pasukan itu telah membuatnya kehilangan fungsi pendengaran.
Ada saat pada akhir waktu kerja petugas pemadam kebakaran tempatan, Joseph Nardone berasa kepalanya dan matanya ‘berputar-putar’ akibat bunyi berisik daripada siren trak berat bomba negara kuasa besar dunia itu.
“Sirennya begitu keras di dalam jentera sehingga secara fizik sangat mengganggu telinga kami,†ujar mantan ketua batalion pemadam kebakaran di negeri New York itu kepada stesen penyiaran antarabangsa, Voice of America.
Meskipun sudah pencen sedekad lalu, dampak bunyi keras siren itu membuatkan telinganya kehilangan fungsi pendengaran, yang menyukarkannya memahami percakapan sehari-hari atau mengikuti ceramah di gereja.
Nardone adalah antara 4,400 petugas dan bekas ahli bomba ‘tuli’ dari seluruh AS yang kini menuntut pampasan daripada Federal Signal Corp., sebuah perusahaan pembuatan siren yang berpangkalan di Oak Brook, Illinois.
Tuntutan yang disampaikan adalah kerana syarikat itu tidak cukup berupaya membuatkan anggota bomba bertugas memadam kebakaran selamat daripada bahaya pekak bunyi keras siren yang didengar hampir setiap hari.
Para petugas ini mengatakan, firma itu sepatutnya menghasilkan siren dengan bunyi yang letak jauh dari tempat duduk anggota bomba di dalam jentera berat tersebut sekali gus dapat melindungi mereka daripada bunyi siren.
Menurut peguam kepada ribuan petugas terlibat itu, siren yang dihasilkan Federal Signal Corp. boleh mencapai tahap 120 desibel atau setara dengan bunyi bising daripada sebuah konsert muzik genre ‘heavy rock’ paling keras.
Nardone yang berusia 73 tahun itu menyatakan, syarikat tersebut sebenarnya memiliki alat khas dan kemampuan untuk melakukan sesuatu tetapi mereka tidak berbuat apa-apa bagi melindungi kebajikan telinga anggota bomba.
Setakat ini AS memiliki kira-kira 1.1 juta anggota bomba aktif yang berkhidmat dalam 30,145 jabatan bomba di 55,400 buah balai bomba seluruh negara dengan menerima lebih 30 juta panggilan kecemasan pada setiap tahun.
Federal Signal Corp. membantah tuntutan itu dengan mendakwa, pemindahan siren tidak menjawab tujuan utama siren, iaitu untuk mengingatkan pemandu kenderaan dan pejalan kaki bahawa ada jentera bomba sedang datang.
Malah, firma terkenal itu sejak sekian lama mendukung apa yang banyak disarankan pihak jabatan bomba sendiri kepada para petugas mereka, iaitu mengenakan pelindung telinga ketika bertugas. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA