KUALA KRAI – Sebanyak 47 orang daripada 14 keluarga dari Kampung Ghucil 7 di sini, berada di sebuah pusat pemindahan banjir Pejabat Veterinar Kuala Krai, pagi Selasa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Hanif Che Khalid berkata mereka terdiri daripada 28 orang dewasa dan 19 kanak-kanak dipindahkan ke pusat pemindahan tersebut sejak 7 malam tadi.
Penduduk terbabit dipindahkan berikutan kampung mereka yang terletak di kawasan rendah dinaiki air akibat Sungai Durian melimpah berikutan hujan berterusan dua hari lalu, katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan Shahimi Sharif berkata paras air sungai utama termasuk Sungai Kelantan berada di bawah paras amaran dan menunjukkan trend menurun.
Beliau berkata cuaca pagi ini dilaporkan cerah. – BERNAMA