BUTTERWORTH – Sejumlah 48 wanita warga asing yang dipercayai dipaksa bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di sebuah pusat hiburan di Perai, di sini berjaya diselamatkan dalam satu operasi khas oleh Jabatan Imigresen.
Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Pulau Pinang, Abdul Rahman Hassan berkata mereka yang terdiri daripada 19 warga China dan 29 warga Vietnam berusia antara 20 dan 30 tahun itu diberkas dalam serbuan pada 12.50 tengah malam.
“Semua wanita warga asing itu, dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan orang dan penyeludupan migran sebelum dipaksa bekerja sebagai pelayan pelanggan di pusat hiburan berkenaan.
“Mereka dibawa masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial dan tidak memiliki dokumen perjalanan lain termasuk permit bekerja,” katanya di sini Khamis.
Menurut Abdul Rahman, bertindak hasil maklumat dan risikan sejak beberapa minggu lepas, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Pulau Pinang serta Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Putrajaya menyerbu pusat hiburan berkenaan.
Turut terlibat dalam serbuan itu ialah Unit Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM).
Abdul Rahman berkata usaha mengesan sindiket dipercayai didalangi warga tempatan itu, kini giat dijalankan.
Katanya semua wanita berkenaan dibawa balik ke Pejabat Imigresen Seberang Jaya untuk didokumentasi sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Juru untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata kes disiasat menurut Akta ATIPSOM 2007. – BERNAMA