KUALA LUMPUR – Sebanyak 78 kes pembuangan bayi dilaporkan dari Januari hingga Ogos tahun ini dengan Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi, Dewan Negara diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datin Paduka Chew Mei Fun berkata sejumlah 15 kes pembuangan bayi dicatatkan di Selangor diikuti Kedah (11 kes), Johor (9 kes), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (8 kes), Sabah (7 kes) dan baki 28 kes lain lagi melibatkan negeri lain.
Chew menjawab soalan Senator Tuan Engku Naimah Engku Taib yang ingin mengetahui mengenai jumlah kes buang bayi bagi 2015 serta keberkesanan program Baby Hatch.
Menurut Chew, oleh kerana kewujudan Baby Hatch masih baharu, kementeriannya belum dapat membuat analisis keberkesanannya dalam menangani kes buang bayi namun pihaknya sentiasa berusaha melakukan pelbagai program kesedaran berkaitan pembuangan bayi.
Katanya, Baby Hatch, pusat perlindungan sementara bayi terbuang ditubuhkan untuk memberi kasih sayang keluarga kepada bayi yang terbuang dengan kerjasama badan bukan kerajaan sekali gus membantu membendung masalah berkenaan.
Sementara itu, ketika ditemui di Lobi Parlimen berkata, Chew berkata kementerian juga mewujudkan OrphanCare dalam membendung masalah pembuangan bayi yang kini dibuka di Petaling Jaya, Johor Bahru dan Sungai Petani, Kedah.
Katanya, sejak 2010 hingga Oktober tahun ini, terdapat 110 ibu hamil yang tampil secara sukarela menyerahkan anak mereka berserta sijil kelahiran yang dan OrphanCare berperanan memberikan kaunseling. – BERNAMA