KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini meluangkan masa bertemu wakil-wakil Kelab UMNO Luar Negara di Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini.
Pertemuan yang berlangsung selama 30 minit itu melibatkan 80 wakil Kelab UMNO dari 23 negara, kebanyakannya terdiri daripada penuntut Malaysia yang belajar di luar negara.
Mereka turut mengambil kesempatan pertemuan itu untuk membincangkan isu-isu semasa politik, ekonomi dan pendidikan.
Dalam pertemuan itu, Ahmad Zahid, yang juga Naib Presiden UMNO, diiringi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta Setiausaha Kelab UMNO Luar Negara Datuk Abdul Shariff Hamid.
Ahmad Zahid turut menyampaikan Anugerah Cemerlang Kelab UMNO Luar Negara kepada kelab yang mempamerkan prestasi terbaik sepanjang tahun ini.
Anugerah tahun ini dimenangi Kelab UMNO Luar Negara Adelaide, Australia, yang membawa pulang plak serta wang tunai sebanyak RM2,000.
Kesemua mereka berada di sini untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2015 yang bermula Selasa dan akan berakhir esok. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]-AGIqNw3XLc[/wpdevart_youtube]