KUALA LUMPUR – Semua jenis peranti pergerakan peribadi yang mengandungi bateri lithium dilarang dibawa menaiki pesawat AirAsia dan AirAsia X berkuatkuasa hari ini.
AirAsia dalam satu kenyataan media memberitahu, bateri lithium boleh didapati pada peralatan seperti ‘hoverboard’, ‘Segway’, ‘Segway mini’, skuter atau basikal elektronik, ‘solowheel’ dan ‘airwheel’.
“Alat-alat tersebut tidak akan diterima dalam bagasi daftar masuk ataupun bagasi kabin,” kata kenyataan itu hari ini.
AirAsia bagaimanapun memaklumkan, kerusi roda atau alat bantuan mobiliti tertentu yang mengandungi bateri akan diterima dengan syarat bateri telah diasingkan dari alat tersebut.
“Berat maksimum yang dibenarkan untuk kerusi roda dan alat bantuan mobiliti adalah 85 kilogram.
“Tetamu yang membawa barangan yang mengandungi bateri digalakkan untuk merujuk kepada garis panduan AirAsia yang terdapat di laman sesawang www.airasia.com/ask,” kata AirAsia.
Semalam, Malindo Air turut mengumumkan larangan peranti pergerakan peribadi seperti hoverboard, mini wheel, skuter elektrik, ‘electric segways’ dan basikal elektrik dibawa menaiki pesawat syarikat penerbangan itu.
Menurut Malindo Air, langkah itu bagi mematuhi arahan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Malaysia dan perakuan oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA). – MYNEWSHUB.CC