KUALA LUMPUR – Aliran trafik di Lebuhraya Utara Selatan (Plus) dari kedua-dua arah (Utara-Selatan) semakin meningkat setakat pukul 6 petang ini.
Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Projek Lebuhraya Utara-Selatan Bhd berkata jumlah kenderaan bertambah di laluan Seremban menghala ke Senawang dan dari Ayer Keroh ke Jasin.
Beliau berkata, aliran trafik di laluan ke utara pula perlahan dari Pendang ke Alor Setar berikutan kemalangan melibatkan dua kereta di Km 51.9 kira-kira pukul 3 petang tadi.
“Kenderaan telah dialihkan ke bahu jalan namun kenderaan masih bergerak perlahan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Katanya, aliran trafik perlahan turut dilaporkan dari Jelapang menghala ke Terowong Menora, Sungai Perak ke Bukit Gantang, Bukit Lanjan ke Jalan Duta, Sungai Buaya ke Rawang, Bukit Beruntung ke Tanjung Malim, Slim River ke Sungkai dan Tapah ke Gopeng.
Sementara itu, Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dari Gombak ke Genting Sempah, berdekatan Plaza Tol Gombak turut dilaporkan perlahan.
Keadaan trafik perlahan dan terkawal juga dilaporkan dari Lentang ke Bentong dan Plaza Tol Karak menghala ke Lancang.
Orang ramai boleh mengetahui maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. – BERNAMA