MUNGKIN tidak belajar daripada sejarah atau buat-buat lupa sejarah, hasrat murni oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin konon sebagai bersejarah untuk bertanding merebut jawatan presiden UMNO bukanlah sesuatu pelik sebenarnya.
Cuma ia jadi pelik kerana Timbalan Presiden UMNO itu terlupa, sejarah parti keramat umat Melayu Islam terbesar di dunia tersebut membuktikan belum pernah pencabar boleh menang, malah kesemuanya teruk jatuh tersungkur!
Tidak perlu pergi jauh, lihat sahaja bagaimana nasib calon terbabit semasa era 22 tahun rejim Tun Dr. Mahathir Mohamad, negarawan hebat yang kini ibarat idola ahli Parlimen Pagoh dan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Bayangkanlah pemimpin gah seperti Tun Musa Hitam, Tun Abdul Ghafar Baba waima Anwar Ibrahim pun ‘kantoi’ tengah jalan untuk jejak kaki ke jawatan panas parti itu, sekali gus dilantik sebagai perdana menteri yang baharu.
Inikan pula Muhyiddin yang usianya lebih tua enam tahun daripada Najib dan pernah mencetuskan kontroversi sewaktu jadi Menteri Besar (MB) Johor hampir sedekad sebelum tiba-tiba kena ‘hijrah’ ke Pusat pada 1995 lalu.
Tidak payah ungkit kisah lama yang menyaksikan Mahathir ‘pening kepala’ masa itu dengan almarhum Sultan Johor, hingga UMNO negeri pun habis berantakan mahu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein jadi MB baharu.
Mujur faktor umur muda ahli Parlimen Sembrong itu menyebabkan Datuk Abdul Ghani Othman jadi ‘bidan terjun’, tetapi kisah lama tersebut diimbau Hishammuddin dalam bentuk kiasan sindiran kepada Muhyiddin baru-baru ini.
Hakikatnya, cerita pengguguran daripada Kabinet konon berjuang atas nama rakyat dalam isu 1MDB, bukanlah alasan terbaik Muhyiddin tawarkan diri sebagai calon Presiden UMNO untuk pemilihan jawatan parti pada 2018.
Jika dilihat cara Hishammuddin berani menegur sinis Muhyiddin secara berlapik jelas mengggambarkan sokongan UMNO Johor ke atas parti itu bukanlah atas faktor tebal kenegerian bangsa Johor, namun lebih dalam ertinya lagi.
UMNO Johor di bawah Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebetulnya jauh lebih baik berbanding era Muhyiddin sendiri, bahkan pengaruh pembangkang ketika pilihan raya umum 2013 lalu akibat faktor luaran, bukan domestik.
Tidak hairanlah apabila macai-macai Muhyiddin seronok ‘jaja’ nama Mohamed Khaled konon antara Team 5M dalam kem Muhyiddin untuk pemilihan UMNO 2018, tanpa dijangka beliau segera bangkit menafikan spekulasi itu.
Lucunya, macam mana boleh ada terselit nama Mohamed Khaled dalam senarai ‘bocor’ itu, walhal satu dunia tahu hubungan antara beliau dengan Muhyiddin bukanlah seindah diuar-uarkan portal propembangkang selama ini.
Justeru penafian Mohamed Khaled konon kem 5M disertai MB Kedah, Mukhriz Mahathir sebagai calon timbalan presiden selain bekas MB Terengganu, Ahmad Said dan Mohd. Shafie Apdal bagi naib presiden kini jadi jenaka.
Adakah ini ‘gempak’ bodoh Muhyiddin menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2015 sebagai mana acah pembangkang dengan usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri yang banyak ilusi fantasi daripada realiti?
Tidak keterlaluan dikatakan inilah perang saraf Muhyiddin ‘paling kelakar’ ketika semua blogger politik tanah air seronok heboh nama kem 5M, Mohamed Khaled pula mudah sahaja memalukan Muhyiddin yang tengah klimaks.
Kecualilah Muhyiddin jenis tidak kisah, muka tembok atau badut komedi satira, hasratnya mahu cabar Najib bukan sahaja mewarnai UMNO, malah memudahkan kerja Najib sendiri sebenarnya ‘membersihkan’ parti itu selepas ini.
– Mynewshub.cc