KUALA LUMPUR – Alumni Al-Azhar bersetuju mewujudkan satu jawatankuasa yang akan menjadi pihak ketiga menyediakan platform penyatuan pemimpin Umno dan PAS dalam satu pentas yang sama.
Presiden Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia (WAAGM), Prof Madya Datuk Dr. Mohd. Fakhrudin Abdul Mukti menyatakan persetujuan itu ketika cadangan dilontarkan oleh Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, Tan Sri Johan Jaaffar yang menjadi moderator forum Perpaduan Ummah Merentasi Ideologi bersempena Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015, di sini Khamis malam.
“Ini merupakan langkah positif, pihak rabitah (alumni) akan membincangkan perkara ini, berdasarkan pengalaman yang kita ada, InsyaAllah kita mampu tubuhkan jawatankuasa itu.
“Saya yakin jawatankuasa itu nanti mampu mengadakan pertemuan seperti hari ini sekerap mungkin berdasarkan kemampuan yang ada.
Kami akan mengenal pasti”tokoh-tokoh yang akan dibawa dalam jawatankuasa itu, yang mana mereka harus bebas daripada kepentingan mana-mana parti politik,” katanya ketika ditemui media selepas forum berkenaan.
Turut hadir sebagai ahli panel forum, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Timbalan Menteri Besar Kelantan, yang juga Naib Presiden PAS, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM), Nasharudin Mat Isa.
Cadangan penubuhan jawatankuasa itu disambut baik oleh Asyraf yang menyatakan perlunya pihak ketiga dalam menyatukan dua pihak yang selama ini tidak sehaluan dalam konteks politik namun ingin bersatu dalam menjaga kepentingan agama dan perpaduan umat Islam.
“Itu (jawatankuasa) satu cadangan yang baik, saya rasa gerakan penyatuan ini boleh dilakukan kerana adanya pihak ketiga yang diwakili ulama dan cendiakawan Islam dari Universiti Al-Azhar yang umurnya lebih 1,000 tahun.
“Dan kita tahu jawatankuasa itu nanti adalah ulama dan cendiakawan yang tidak mewakili mana-mana parti politi tapi mewakili suara hati rakyat,” katanya. – BERNAMA