KUALA LUMPUR – Darem Hakimi, 27, anak kepada Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Abdull Hamid Embong maut dalam kemalangan di Jalan Sultan Abdul Halim menghala Jalan Sultan Iskandar berdekatan kawasan Parlimen awal pagi Khamis.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 4.40 pagi apabila kereta Honda City yang dipandunya dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar sebuah treler.
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, DSP S. Markandan berkata treler itu dipercayai berada di tepi jalan sementara menunggu untuk menurunkan konkrit longkang di sebuah tapak projek di situ.
“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan meninggal di tempat kejadian manakala mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat,” katanya kepada Bernama. – BERNAMA