PARIS – Penyanyi jelita terkenal kelahiran Indonesia yang sudah lama bermastautin di Perancis, Anggun Cipta Sasmi, dan kini berusia 41 tahun; memang selalu membuat rakyat negara Asia tenggara itu berasa amat bangga.
Beliau memang sudah meraih beberapa kejayaan gemilang seperti memenangi Anugerah Muzik Dunia, dilantik sebagai duta muhibah PBB serta pernah menjadi juri antarabangsa program televisyen ternama, Asia’s Got Talent.
Terbaharu wanita hebat yang juga menjadi inspirasi kepada ramai peminat wanita di Indonesia itu, meraih satu lagi kejayaan apabila dipilih sebagai salah seorang juri utama untuk anugerah tahunan berprestij Perancis.
Beliau dilantik menjadi pengadil bagi pertandingan Ratu Cantik Perancis atau Miss France 2016 dan paling unik, Anggun dipilih sendiri oleh pereka fesyen terkenal negara Eropah romantis itu, Jean-Paul Gaultier.
Anggun malahan akan bekerjasama rapat dengan Jean-Paul pada 19 Disember dalam pemilihan Miss France 2016 yang lazim memecah rekod tontonan tinggi stesen televisyen kebangsaan Perancis, TFI setiap tahun.
Lebih membanggakan lagi, Anggun yang berdarah Jawa dan anggota kerabat diraja Yogyakarta, merupakan orang benua Asia pertama yang dipilih menjadi juri dalam pertandingan kecantikan wanita paling elit tersebut.
Anggun sendiri sudah bersahabat agak lama dengan pereka fesyen bertaraf dunia itu dilihat selalu memakai busana yang memang direka sendiri oleh Jean-Paul bagi beberapa penampilan eksklusif di khalayak awam.
Beliau yang mula menjadi penyanyi profesional di Jakarta, Indonesia pada 1986 lalu sebelum berhijrah ke Perancis sejak 1994 itu sebenarnya pernah muncul dijemput menjadi antara juri undangan untuk Miss France 2009.
Wanita Muslim ini bukan dipilih tanpa sebab. Beliau mempunyai pengalaman dalam dunia fesyen apabila dipilih sebagai model muka depan majalah Tele 7 Jours pada 2012 sekali gus menjadi media cetak paling laris dibaca.
Anggun kebetulan membuat penampilan dalam majalah itu bersama Jean-Paul. Kejayaan Anggun sungguh membanggakan kita dan semoga terus menjadi wanita yang menjadi inspirasi kepada ramai wanita di luar sana.
– Agensi/Mynewshub.cc/HAA