PENGACARA popular, Datuk Aznil Nawawi telah dipelawa stesen HBO Asia untuk membuat liputan segmen permaidani merah anugerah berprestij, Academy Awards.
Majlis meriah untuk edisi ke-88 itu bakal berlangsung pada 28 Februari tahun depan bertempat di Dolby Theatre di Los Angeles, California, Amerika Syarikat.
Peluang itu sekali gus mengulangi perjalanan karier Aznil atau lebih dikenali sebagai Pak Nil yang sebelum ini pernah menemu bual selebriti popular Hollywood iaitu Kim Kardashian dan hos terkenal, Ryan Seacrest dan Giuliana Rancic.
Mengulas mengenai keberangkatannya itu, Aznil berkata: “Alhamdulillah atas kesempatan kali kedua ini. Ketika pergi kali pertama dulu, saya memang gementar sebab sedar penguasaan Bahasa Inggeris saya tak sehebat orang lain.”
“Tapi selepas ke sana, saya lihat dan rasa Bahasa Inggeris saya taklah teruk sangat kalau mahu dibandingkan dengan wakil media negara lain,” katanya memetik BH Online.
Pak Nil akan berlepas ke Los Angeles pada 6 Januari depan bersama seorang jurukamera dari stesen Astro. – MYNEWSHUB.CC