KOTA KINABALU – Sebarang kenyataan menuduh kerajaan tidak serius dan tiada perkembangan dalam menangani isu pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah pasca Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai perkara itu, adalah tidak wajar.
Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman menyifatkan tindakan segelintir pihak mengeluarkan kenyataan sebegitu sebagai tidak bertanggungjawab dan hanya mengelirukan rakyat serta tidak membantu dalam usaha menyelesaikan permasalahan yang wujud.
“Pertama, kerajaan melalui pelbagai agensi yang berkenaan telah dan sedang melaksanakan pelbagai usaha untuk menyelesaikan isu-isu dan perkara perkara yang dibangkitkan dalam laporan RCI.
“Kedua, perlu diingat isu dan permasalahan yang ditangani ini memerlukan jalan penyelesaian menyeluruh melibatkan pelbagai aspek termasuk perundangan. Ia menjadi lebih rumit kerana melibatkan negara luar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Musa yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing Negeri Sabah (JKPWAS), membidas kenyataan beberapa pemimpin tempatan termasuk pembangkang dalam akhbar tempatan, mendesak kerajaan pusat dan negeri menjelaskan ‘ketiadaan tindakan jelas’ ke atas masalah yang telah lamamembelenggu rakyat di Sabah itu.
Beliau menjelaskan penguatkuasaan untuk menangkap, mengusir dan menghalang kemasukan PATI dilaksanakan secara agresif setiap hari.
Katanya dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, seramai 148,212 orang diperiksa dan 17,615 ditahan, manakala 24,711 PATI telah dihantar pulang ke negara asal.
Musa juga berkata kerajaan sedang mengambil pendekatan memantapkan keberkesanan aspek penguatkuasaan, antaranya perluasan penggunaan sistem biometrik dan pembinaan dua Pusat Tahanan Sementara (PTS) baharu bagi membolehkan operasi penguatkuasaan dilaksanakan lebih agresif.
Selain itu, beliau berkata bermula 15 Sept lepas, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaksanakan keputusan menukar Sijil Kelahiran Bukan Negara kepada Rekod Kelahiran untuk mengubah persepsi, mempermudahkan penguatkuasaan dan mengekang sindiket pemalsuan.
Musa berkata beberapa pendekatan turut dirancang yang memerlukan kerjasama negara lain untuk membolehkan pelaksanaan dibuat.
Katanya kerajaan sedang berusaha mengadakan perbincangan dengan kerajaan Filipina dalam usaha mengeratkan kerjasama untuk mengenal pasti warganegara mereka, mempercepatkan proses dokumentasi dan melicinkan usaha penghantaran pulang.
Sehubungan itu, Musa meminta semua pihak memberi kerjasama dalam menangani isu tersebut dan tidak memperkecilkan komitmen pegawai dan semua agensi kerajaan yang terlibat.
Beliau juga berkata kerajaan mengalu-alukan dan berterima kasih atas syor dan cadangan yang diberikan oleh pelbagai pihak dalam isu itu dan setiap satu akan diperhalusi dengan mengambil kira pelbagai aspek.
“Isu ini adalah isu yang dekat dengan semua rakyat Malaysia di Sabah tanpa mengira latar belakang.
“Mempolitikkan isu ini bukanlah jalan penyelesaian dan hanya akan merumitkan permasalahan,” katanya.
Musa berkata kerajaan juga menyalurkan peruntukan besar kepada Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dari segi penambahan dan peningkatan aset, anggota dan batalion untuk membanteras kemasukan PATI dan mengukuhkan lagi aspek keselamatan khususnya di kawasan sempadan perairan. – BERNAMA