KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengenakan kompaun yang lebih tinggi terhadap orang awam yang mengotorkan tempat awam berkuatkuasa Jun tahun depan.
Kesalahan itu adalah seperti meludah, membuang puntung rokok di tempat awam, membuang sisa makanan dalam longkang serta kenderaan atau lori yang mengotorkan jalan termasuk kegagalan menjaga kebersihan di premis makanan.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Loga Bala Mohan berkata tindakan menaikkan kadar kompaun itu bertujuan meningkatkan tahap kesedaran orang awam dan pemilik premis dalam penjagaan kebersihan.
“Setakat ini, kita hanya kenakan kompaun minimum RM50 hingga maksimum RM2,000, lepas ni mungkin minimum lebih RM100… manakala premis-premis yang kotor diarahkan tutup maksimum sehingga dua minggu,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita semasa menyertai Operasi ‘Anti Litter’ (Anti Membuat Kotor) oleh Pasukan Bertindak Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan DBKL, hari ini.
Loga berkata sebanyak 2,764 pelbagai jenis kompaun dikeluarkan dari Jan hingga 14 Dis tahun ini dengan nilai kompaun berjumlah RM239,700.
Operasi ‘Anti Litter’ hari ini dilaksanakan di sekitar Brickfields melibatkan 80 anggota penguatkuasa DBKL termasuk anggota Pasukan Bertindak KWP. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]9_gmz0gcH_E[/wpdevart_youtube]