BAYANGKAN jika agensi berita rasmi negara Bernama tidak siar laporan penafian Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, mungkin inilah Perhimpunan Agung UMNO paling ‘panas’ dalam sejarahnya.
Malangnya tidak sampai beberapa jam berita kononnya Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin mewujudkan Team 5M, ketua kerajaan negeri Johor itu berjaya membantutkan suhu politik tinggi parti utama itu.
Mohamed Khaled segera menyangkal khabar angin konon beliau antara lima tokoh dalam kem Muhyiddin; yang berhasrat mahu merebut jawatan Presiden UMNO daripada penyandangnya kini iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ekoran penafian tersebut yang tidak disangka oleh sesiapa waima portal berita propembangkang, suasana dewan Kelab Sultan Sulaiman, Kampong Bharu di Kuala Lumpur tidaklah semeriah yang diharapkan Muhyiddin sendiri.
Dianggarkan kira-kira 1,000 orang sahaja hadir dan itupun sebab dibantu hebahan saat-saat akhir penganjurnya iaitu empat NGO yang pro-Muhyiddin bahawa bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut datang.
Mereka juga dibantu puluhan pemuda Melayu berbaju-T warna biru yang tertera ayat ‘Keranamu Malaysia Tanah Tumpahnya Darahku‘ dipercayai anggota PKR menyamar penyokong Muhyiddin bagi memenuhkan ruang dewan.
Baca: Ucapan Muhyiddin Dirujuk Ke Jawatankuasa Khusus UMNO
Sebahagian besar yang hadir ternyata bukan ahli UMNO apabila dilihat tergagap-gagap menyanyikan lagu rasmi UMNO ‘Bersatu-Bersetia-Berkhidmat‘ selepas Muhyiddin dan Mahathir berada di atas pentas sebelum berucap.
Ini belum lagi lihat mereka terpinga-pinga ketika diminta menyanyikan lagu keramat ‘Warisan’ iaitu lagu wajib setiap majlis UMNO, sekali gus mengesahkan tanggapan yang datang pada malam Isnin itu orang luar entah siapa!
Hakikatnya, majoriti yang hadir termasuk puluhan pemberita asing; dipercayai mahu mendengar pengumuman bersejarah Muhyiddin melancarkan Team 5M setelah diuar-uarkan ramai blogger dan netizen sejak pagi Isnin lagi.
Lucunya, penafian Mohamed Khaled yang tidak dijangka beberapa jam sebelum majlis itu bermula, menyaksikan Muhyddin seperti malu alah dan ucapannya selama 100 minit itu jadi macam ceramah pembangkang versi UMNO.
Berselindung di sebalik banyak bendera UMNO Sang Saka Bangsa di dalam dewan itu, Muhyiddin rupa-rupanya amat terkesan dengan tindakan nekad Mohamed Khaled memalukan dirinya tetapi masih cuba ‘cool’ jaga imej diri.
Habis tamat ucapan Muhyiddin pada pukul 10.16 malam, beliau langsung tidak mengumumkan mahu bertanding jawatan Presiden UMNO dan pembentukan Team 5M, menyebabkan ramai hadirin berasa seperti dipermainkan.
Baca: Alkisah Muhyiddin Mahu Cabar Najib Jadi Presiden UMNO?
Untuk mengaburi ‘lompang’ Muhyiddin gagal membuat sebarang kejutan, pengerusi acara itu tiba-tiba pula tanpa disangka meminta Mahathir untuk memberi ucapan sehingga menyebabkan ramai pemberita terkejut kehairanan.
Ini kerana mereka menjangkakan negarawan tersebut hadir sekadar ‘penyeri’ pentas dan ada juga mengeluh majlis Muhyiddin itu kena ‘hijack‘ oleh Mahathir apabila menggunakan acara tersebut bagi menghentam pihak kerajaan.
Secara jujur, penampilan Mahathir yang tidak diduga sebenarnya berjaya ‘merosakkan’ imej Muhyiddin sehingga dianggap sebagai cukup terdesak sanggup berbuat apa sahaja waima dengan pengkritik tegar Najib sendiri.
Penulis yang hadir turut terdengar cakap-cakap sinis bahawa Muhyiddin sebenarnya belum ada kekuatan dan keberanian sampai terpaksa ‘import’ Mahathir selepas pelan Team 5M beliau jadi bahan jenaka pelbagai pihak.
Justeru ucapan Muhyiddin pada majlis itu antaranya mahu hadkan jawatan presiden parti kepada dua penggal selain laman Facebook beliau dipenuhi komen mahu Najib berundur; hanyalah alasan bagi menutup kelemahan.
Apa yang pasti, nasihat beliau mahu Najib ‘berehat’ bukan letak jawatan, seolah-olah menjadikan Muhyiddin ala Anwar Ibrahim versi UMNO yang cuma mahir menagih simpati hadirin demi menyambung talian hayat politiknya.
– Agensi/Mynewshub.cc/HAA