KUCHING – Bekas pemain KL Felda United FC, Makeche Ndumba dan Gilmar Jose Da Silva Filho, adalah dua penyerang import yang menjadi sandaran skuad Sarawak menghadapi Liga Malaysia 2016.
Ndumba, 23, dari Australia dan Gilmar, 27, bekas pemain import Kelantan yang berasal dari Brazil adalah antara enam pemain baharu skuad itu yang diperkenalkan dalam satu majlis hari ini.
Ketua jurulatih Sarawak Datuk K Rajagobal jelas mahu memperkukuhkan barisan serangan mereka apabila turut mendapatkan bekas penyerang Harimau Muda A, Syahrul Azwari Ibrahim, 22.
Tiga pemain baharu lain adalah dua pemain tengah, K Gurusamy, 26 (Selangor) dan Mohd Akmal Mohd Noor, 26 (NS Matrix) serta bekas penjaga gol T-Team, Mohd Sharil Sa’ari, 25.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) Datuk Abu Bakar Marzuki berkata dua lagi slot pemain import bagi skuad Bujang Senang itu akan diumumkan apabila tiba masanya nanti.
“Kami mempunyai banyak pilihan pemain import dan perlu mendapatkan yang terbaik untuk melihat keserasian dalam kalangan pemain bagi memantapkan pasukan,” katanya selepas sesi memperkenalkan pemain baharu pasukan itu.
Turut hadir Setiausaha Agung FAS, Abdullah Julaihi, Rajagobal serta barisan kejurulatihan pasukan.
Ketika ditanya mengapa Sarawak menjadi pilihan, rata-rata pemain itu berkata mereka cukup teruja dengan sokongan padu penyokong Sarawak yang sentiasa bersemangat tinggi dalam setiap perlawanan.
Di samping itu, mereka juga serasi dengan corak kejurulatihan yang ditampilkan Rajagobal.- BERNAMA
[wpdevart_youtube]6FPBjfK1mSU[/wpdevart_youtube]