GAMBAR perkahwinan dapat mengabadikan memori terindah setiap pasangan. Lebih-lebih lagi pada zaman arus teknologi ini, pelbagai cara dibuat untuk menghasilkan gambar perkahwinan paling menarik sebagai lambang kenangan terindah seumur hidup.
Namun bagaimana agaknya jika gambar yang sudah siap diproses dan dinantikan penuh teruja, tiba-tiba turut memaparkan entiti asing di dalamnya? Dalam erti kata lain, terdapat imej makhluk halus atau ‘hantu’ pada gambar yang ingin ditatap selalu itu. Pastinya sangat menyeramkan!
Inilah yang terjadi kepada pengantin baru Amanda Crowe dari Lake Charles, Louisiana, Amerika Syarikat. Salah satu gambar perkahwinannya yang diabadikan oleh jurugambar Ashley Frantz, 31, menampakkan imej ‘roh’ anak perempuannya berada di sisi tatkala Amanda memakai gaun pengantinnya.
Bagaimana pun, gambar yang dihasilkan itu adalah atas permintaan Amanda sendiri yang ingin mengabadikan kenangan indah tersebut bersama mendiang anaknya, Azalee yang meninggal dunia pada tahun 2013 ketika berusia 6 tahun akibat kanser.
Ashley telah melakukan teknik photoshop untuk menjayakan permintaan Amanda itu. Dalam laman Facebooknya Ashley menulis:
“Saya memenuhi permintaan Amanda bukan kerana duit, namun ianya kerana Amanda inginkan kenangan indah itu diabadikan bersama Azalee, walaupun anaknya itu sudah tidak ada lagi di dunia.”
Pasti ramai tersentuh melihat gambar yang dihasilkan ini.
Sememangnya kenangan indah tidak boleh dibeli dan hanya mampu tercipta ketika masih berada bersama-sama orang yang kita sayangi dan hargai. – MYNEWSHUB.CC
Sumber: news.com.au/
[youtube https://www.youtube.com/watch?v=f6nWmvwS8XI&w=560&h=315]