KUALA LUMPUR – Gelagat legenda badminton menarik perhatian peminat badminton tempatan yang hadir menyaksikan perlawanan pertunjukkan Jelajah Legenda Dunia di Stadium Badminton Cheras hari ini.
Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, Taufik Hidayat dari Indonesia dan Peter Gade dari Denmark mempamerkan aksi bersahaja yang menarik perhatian kira-kira 5,000 peminat sukan badminton tempatan yang membanjiri stadium petang ini.
Antara menjadi tumpuan adalah gelagat Taufik serta seorang lagi bekas pemain Indonesia iaitu Rexy Mainaky.
Aksi bersahaja yang dipamerkan dua pemain tersebut dalam beberapa perlawanan menghiburkan penonton yang hadir dalam usaha mereka menaikkan sokongan sukan badminton di seluruh negara.
Peminat cilik serta pelajar sekolah turut berpeluang beraksi bersama-sama tiga legenda badminton itu.
Chong Wei turut beregu dengan bekas pemain kebangsaan era 90-an Cheah Soon Kit menewaskan gandingan Rexy dan Peter Gade 11-8 dalam salah satu perlawanan hari ini.
Penampilan Chong Wei dan isterinya Datin Wong Mew Choo turut mendapat sorakan gemuruh penonton yang hadir ketika perlawanan menentang Taufik yang bergandingan dengan naib juara Remaja Dunia Lee Ying Ying.
Sementara itu, Chong Wei ketika ditemui Bernama berkata beliau gembira dengan kejayaan penganjuran program yang berlangsung hari ini.
“Secara keseluruhan saya gembira dengan sambutan yang diberikan oleh penonton.
“Kita cuba menghiburkan mereka semua. Sambutan peminat di luar jangkaan,” katanya.
“Kali ini program ini dibuat di Malaysia dan sebagai pemain tuan rumah, saya cuba menjadikannya yang terbaik dalam sejarah penganjuran,” tambah Chong Wei.
Beliau turut berterima kasih kepada pemain dan bekas pemain yang turut sama menjayakan perlawanan pertunjukan itu. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]JgvXcOC9N2M[/wpdevart_youtube]